KUALA TERENGGANU: Mahkamah hari ini, menolak permohonan pempetisyen untuk hakim menarik diri dari mendengar kes petisyen pilihan raya Parlimen Marang.
Hakim Datuk Hassan Ghani, menolak permohonan Umno dan meneruskan perbicaraan.
Peguam responden, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, sebelum itu berhujah bahawa berdasar semakan yang dibuat mendapati hakim berkenaan bukan pengundi di Parlimen Marang.
Selain itu, katanya, pelantikan hakim dibuat Ketua Hakim Negara.
“Malah hakim yang mengendalikan kes petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah Melaka juga merupakan hakim residen.
“Oleh itu, tidak berbangkit pihak pempetisyen membantah kes tersebut dikendalikan Hakim Datuk Hassan,” katanya pada prosiding kes tersebut, hari ini.
Pada 3 Januari lepas, Pengerusi Umno Terengganu, Datuk Ahmad Said, memfail petisyen bagi memohon mahkamah membatalkan keputusan PRU15 Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu kerana mendakwa berlaku pengagihan wang di kawasan berkenaan ketika kempen pilihan raya.
Selepas mendengarkan hujah kedua-dua pihak, hakim memutuskan bahawa hujah peguam pempetisyen sekadar persepsi dan tidak membuktikan wujud unsur bias.
Ekoran itu prosiding kes tersebut diteruskan di mana Takiyuddin membangkitkan empat isu yang mewajarkan mahkamah menolak petisyen terbabit.
Katanya, pempetisyen lewat memfailkan petisyen berkenaan yang sepatutnya dibuat dalam tempoh 28 hari selepas kejadian sogokan didakwa berlaku.
Menurutnya, petisyen tersebut difailkan di luar tempoh masa yang ditetapkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1994.
“Pempetisyen secara jelas melanggar peraturan mandatori yang menetapkan kes tersebut perlu difail dalam tempoh 28 hari selepas kejadian berlaku dan bukan selepas keputusan pilihan raya diwartakan, ” katanya.
Selain itu, katanya pempetisyen gagal mengemukakan fakta dakwaan sogokan berlaku dalam pengetahuan calon PAS yang bertanding di Parlimen Marang.
Takiyuddin turut dibantu peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Saifuddin Osman.
Ketika bercakap kepada pemberita selepas itu Takiyuddin berkata, hakim meminta peguam kedua-dua pihak memasukkan hujah tambahan secara bertulis sebelum 6 Februari ini.
Menurutnya juga sekiranya bantahan awal peguam responden diterima perbicaraan kes tersebut tidak lagi diteruskan.
Bagaimanapun keadaan sebaliknya berlaku perbicaraan kes itu diteruskan bermula 12 Februari. – HARAKAHDAILY 30/1/2023
https://harakahdaily.net/index.php/2023/01/30/mahkamah-tolak-permohonan-pempetisyen-minta-hakim-tarik-diri/
Ulasan
Catat Ulasan