TIDAK cukup dengan Menteri Ekonomi yang merupakan regu rapat kepada Perdana Menteri (merangkap Menteri Kewangan), difahamkan puteri Perdana Menteri telah pun dilantik sebagai Penasihat Ekonomi dan Kewangan kepada Perdana Menteri.
Suatu perkembangan ‘reformasi institusi’ yang menarik.
Menurut Kamus Dewan, kronisme bermaksud amalan mengutamakan atau mementingkan teman rapat atau kawan rapat dalam pelantikan sesuatu jawatan, pemberian sesuatu projek dan sebagainya.
Manakala definisi nepotisme ialah suatu perbuatan atau amalan yang mementingkan atau melebihkan sanak-saudara dan kawan-kawan sendiri sahaja.
Pastinya Perdana Menteri punyai wewenang untuk melantik sesiapa sahaja yang pada hematnya memiliki wahana, kelayakan dan kemampuan untuk membantu beliau mengurus ekonomi dan kewangan negara.
Dalam suasana ekonomi domestik yang mencabar dan ekonomi dunia yang berdepan tren slowbalisation, rakyat marhaen hanya mengharapkan pertumbuhan ekonomi kembali rancak, inflasi terkawal, kos sara hidup dibendung, seterusnya lebih peluang untuk mendapat pekerjaan.
Semoga Perdana Menteri beroleh wahana dan formula terbaik untuk mencerakinkan segala permasalahan yang membelenggu negara ini.
Kepada ‘Trio-Madani’ YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YB Menteri Ekonomi dan Penasihat Ekonomi dan Kewangan Perdana Menteri, diucapkan selamat maju jaya!
SYAHIR SULAIMAN
Ahli Parlimen Bachok – HARAKAHDAILY 30/1/2023
Ulasan
Catat Ulasan