Hentikan buli siber dan ‘body shaming’!


DEWAN Muslimat PAS Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya buli siber dan ‘body shaming’ dalam kalangan pengguna media sosial terutama kepada golongan wanita. Segala bahasa kelucahan dan gangguan seksual diguna bagi menakutkan dan menjatuhkan seseorang seharusnya dihentikan dan diambil tindakan tegas.

Isu baru-baru ini yang tular melibatkan tiga orang Muslimat Muda PAS yang lantang mengkritik kepimpinan Kerajaan Madani kini telah diintimidasikan oleh golongan yang berpihak kepada kerajaan. Gambar dan maklumat peribadi mereka dikongsi secara malafide yang mengundang buli siber dan bersifat gangguan seksual dari kalangan pengguna media sosial sehingga ke tahap mereka turut menerima ugutan bunuh.

Perbuatan menjatuhkan reputasi seseorang dengan serangan peribadi adalah melampau. Apakah sudah kehabisan kreativiti dan profesionalisme berpolitik dalam kalangan penyokong kerajaan yang dikira melawan kleptokrasi dan menentang nepotisme ini? Rabak dengan video kritikan yang dibawa oleh tiga orang Muslimat Muda PAS?

Kebebasan bersuara pasca PRU15 dilihat sudah terkubur. Sikap ketidak terbuka pemimpin Kerajaan Madani ini dilihat agak tidak matang. Jauh berbeza dengan budaya dan laungan reformasi yang pernah diperjuangkan semasa bergelar pembangkang.

Dewan Muslimat PAS Malaysia menuntut pihak Kementerian Komunikasi dan Digital agar tidak bersikap ‘double standard’ dalam mengawal selia penggunaan media sosial sama ada Tiktok, Twitter, Facebook dan juga Instagram. Tidak hanya menyekat suara-suara mereka yang tidak berpihak kepada kerajaan, malah turut sama mengambil tindakan kepada mereka yang mengugut dan menakutkan pihak yang membangkang kerajaan. Perkara seperti ini tidak boleh dibiarkan menjadi budaya baru dalam masyarakat yang mahu mencapai negara Madani.

Dewan Muslimat PAS Malaysia menyeru semua pihak yang komited memperjuangkan hak wanita untuk bersatu dan bersama menggembleng usaha dalam menzahirkan penolakan kepada buli siber dan body shaming kepada para wanita sehingga menjatuhkan maruah seseorang. Character assassination berjaya dilakukan, reputasi seseorang jatuh, damage done adalah taktik lama dalam dunia terbuka kini. Reform tetapi mengundur ke belakang untuk wanita.

Semoga anak muda di luar sana tidak takut untuk bersuara, berkongsi pendapat demi ibu pertiwi. Adalah sesuatu yang tidak wajar menutup kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan bagi memacu negara ke arah yang lebih bersih dan stabil.

USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 15/2/2023

Ulasan