Kerajaan tidak dapat teruskan hapus hutang peneroka Felda



KUALA LUMPUR: Kerajaan PH-BN hari ini tidak dapat meneruskan penghapusan hutang peneroka Felda, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Sri Azalina Othman Said.

Bagaimanapun, menurutnya pentadbiran terdahulu pada Julai 2021 telah meluluskan penghapusan hutang peneroka Felda keseluruhanya bernilai RM8 bilion.

“Namun begitu, kerajaan kini tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda secara berterusan kerana penghapusan hutang pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar terhadap aliran tunai Felda,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Ustaz Kamal Ashaari [PN-Kuala Krau] pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Kamal meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian kerajaan untuk meneruskan lagi usaha Kerajaan sebelum ini dalam menghapuskan hutang Felda.

Oleh yang demikian, kata Azalina kutipan balik baki hutang ataupun pinjaman yang telah dikeluarkan sehingga kini perlu terus dilakukan sebagai sumber pendapatan Felda untuk kelangsungan organisasi dan kebajikan warga peneroka Felda.

“Hal ini disebabkan kutipan hutang peneroka Felda merupakan salah satu sumber pendapatan Felda yang penting bersamaan dengan 10.8 peratus jumlah pendapatan jangkaan bagi tahun 2023,” katanya lagi.

Ustaz Kamal semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 20 Februari lalu turut menyentuh mengenai penghapusan hutan peneroka Felda.

Beliau memberi cadangan kepada pihak-pihak yang wajib sebagaimana yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghapuskan 80 peratus hutang peneroka bernilai RM8.3 bilion.

“Saya mewakili anak-anak peneroka, merasai beban tanggungan hutang generasi pertama memohon agar hendaklah kiranya ada usaha lagi dibuat agar menghapuskan keseluruhan hutang peneroka yang berjumlah lebihan daripada RM8.3 bilion tersebut.

“Mudah-mudahan ia memberi sedikit kelegaan kepada anak-anak peneroka pertama yang telah meninggal dunia. Ini sekurang-kurangnya mereka tidak terbeban dengan hutang yang mereka tanggung,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2023

Ulasan