Ketakutan melampau terhadap Islam




BARAH paranoid yang sukar dirawat. Gegak gempita dunia media sosial gara-gara perarakan Pemuda PAS Terengganu yang mengenakan pakaian ala tentera Islam zaman silam di majlis perhimpunan tahunan mereka, HIMPIT.
Sebahagiannya mengecam dan mencemuh atas alasan mengganggu ketenteraman awam, mempamerkan elemen ganas dan ekstrem. YB Menteri Agama pun tidak kalah lumba dengan netizen di media sosial apabila turut mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.

Saya melihat berlakunya satu ketakutan melampau terhadap Islam. Lebih malang terdapat sebahagian umat Islam sendiri yang paranoid terhadap peristiwa yang berlaku.

Walhal Malaysia adalah sebuah negara yang telah banyak menyajikan perarakan serupa saban tahun. Tidak timbul sebarang isu.

Perarakan bersenjata oleh pasukan bersenjata negara sering kita lihat dalam perarakan sempena sambutan Hari Kebangsaan, Hari Pahlawan dan majlis-majlis rasmi tertentu.

Bahkan terdapat juga pertunjukan adu senjata menggunakan tombak, lembing, pedang dalam opera dan upacara budaya serta agama kaum tertentu dalam negara. Termasuklah menggunakan kostum pahlawan silam yang lengkap bersenjata.

Masih segar dalam ingatan kita, fenomena filem Mat Kilau yang membuatkan tampil pelbagai pihak mempamerkan busana Melayu bersisip keris pusaka di pinggang. Tidak sahaja di dalam majlis rasmi, tetapi menjadi trend harian mereka yang bersemangat melayu. Ke pasaraya, kedai makan dan ke hulu hilir dengan keris tersisip, mereka bangga mengenakan busana pahlawan Melayu silam.

Pemuda PAS Terengganu dalam satu majlis perarakan bertema, memperagakan busana pejuang-pejuang Islam zaman silam dengan berjubah dan berserban serta beberapa prop digunakan sebagai kostum baju besi dan pedang yang diperbuat dari kayu dan peralatan DIY, tiba-tiba meletus ketakutan yang bukan-bukan pada setengah pihak lalu sengaja menjadikan perarakan itu sebagai modal menghentam PAS.

Saya percaya hanya kerana itu adalah busana pahlawan dan pejuang Islam zaman silam, maka ia dijadikan isu. Kalau pihak-pihak lain melakukannya, mungkin mereka akan memuji sebagai menarik, mempamerkan warisan pusaka yang perlu dikenang dan bla bla bla.

Kalau dah paranoid, memang sukar untuk dirawat. Selayaknya mereka melihat lambakan filem-filem aksi ganas sebagai lebih merbahaya dan membentuk minda ganas dalam masyarakat peniru.

Terbaharu filem Pulau yang lebih mengganggu ketenteraman awam melalui aksi separa lucah. Saya harap YB Menteri Agama boleh membuat kecaman yang lebih berat justeru ia jelas bercanggah dengan syariat. Sekian.

NASRUDIN HASSAN AT TANTAWI
Penasihat
Pondok Pengajian Turath Amanullah – HARAKAHDAILY 20/2/2023

Ulasan