KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) mengajak anak muda seluruh Malaysia untuk terus berusaha menyuarakan suara mereka yang dijamin hak demokrasi Malaysia.
Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata seruan itu dibuat berikutan berlakunya tindakan intimidasi dan provokasi oleh kerajaan kepada pengguna Tik Toker dalam kalangan anak muda, yang dikatakan menyebarkan fitnah terhadap kerajaan.
Sedangkan menurut beliau, kandungan bahan tersebut hanyalah salah satu elemen kebebasan bersuara.
“Justeru, atas nama kebebasan dan menuntut keadilan anak muda ini saya ingin ingatkan kepada kerajaan, manifesto PH (Pakatan Harapan) pada Perkara 17, PH telah mengemukakan janji akan menjamin kebebasan bersuara anak muda dan tidak akan mengenakan undang-undang untuk menyekat kebebasan bersuara.
“Apa yang berlaku hari ini kritikan dan juga sedikit sebanyak perkara yang diutarakan anak muda yang tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan sudah dianggap sebagai fitnah,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas dalam sidang media di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Fadhli, tindakan terhadap anak muda semakin berleluasa dan terbaharu, satu notis telah dikeluarkan kepada Mohd Haniff Abdul Rahim yang diminta hadir oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memberi keterangan di Balai Polis Bandar Hilir, pada hari ini.
“Ini tindakan yang saya kira satu usaha untuk menyekat kebebasan bersuara untuk anak muda. Jadi saya ingin tanya, adakah kerajaan hari ini ingin menyekat kebebasan bersuara anak muda yang telah diperjuangkan PH sendiri dalam manifesto mereka?
“Jika ini tindakan yang diambil kerajaan, kita menyeru anak muda di seluruh Malaysia supaya jangan menghentikan usaha untuk terus mengkritik, menyuarakan suara yang dijamin hak demokrasi negara kita hari ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/2/2023
Ulasan
Catat Ulasan