Nepotisme, adakah ini dasar paling berjaya?




KUALA LUMPUR: Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mempersoalkan sama ada amalan nepotisme merupakan dasar paling berjaya yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang 100 hari pemerintahannya.

Menurut Abdul Latiff, nepotisme yang meliputi pelantikan ahli keluarga sendiri dalam kerajaan bukan berkisar mengenai menerima gaji ataupun tidak menerima gaji.

Namun katanya, amalan nepotisme bercanggah dan melanggar prinsip serta perjuangan Reformasi yang dibawa Presiden PKR itu sebelum menjadi kerajaan.

“Jika yang melantik anak, atau disebut sebagai nepotisme, dibuat oleh pemimpin lain, (mungkin) tidaklah terlalu tajam kritikannya.

“Rakyat sedang menilai, adakah ini sebahagian daripada dasar yang paling berjaya dibuat oleh Perdana Menteri menjelang 100 hari pemerintahan Malaysia Madani ini,” katanya membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Abdul Latiff, mungkin Anwar lupa beliau pernah menulis mengenai amalan nepotisme dalam sebuah buku berjudul Gelombang Kebangkitan Asia.

“Kalau terlupa, Kuala Krai meminta Perdana Menteri belek dan membaca kembali muka surat 110 buku Gelombang Kebangkitan Asia yang ditulisnya sendiri.

“Saya bawakan di sini ‘Rasuah dan lain-lain bentuk kegiatan rent-seeking, termasuk nepotisme, membebankan masyarakat dan tidak boleh dianggap sebagai keburukan yang perlu untuk merangsang pertumbuhan serta kecekapan,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta Anwar menghadam, mengunyah dan menjadikan tulisannya itu sebagai panduan dalam membentuk dan membangunkan Malaysia kini.

Bezanya, kali ini kata Abdul Latiff, anaknya Nurul Izzah tidak diberi gaji seperti beliau tidak mengambil gaji.

“Alhamdulillah, bertuahnya rakyat Malaysia yang mempunyai seorang pemimpin seperti ini. Tetapi persoalan yang bermain di minda rakyat bukan pemberian gaji, tetapi mengapa melantik anak sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2023

Ulasan