PASRelief hargai MP PN akan sertai misi ke Turkiye, Syria




PASRELIEF Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL (PN) yang akan menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Turkiye dan Syria bagi membantu mangsa gempa bumi di dua negara terbabit bermula 2 hingga 7 Mac ini.
Misi ini akan diketuai Timbalan Presiden PAS, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man diiringi Pengarah PASRelief, YB Ustaz Mohd Yusni Mat Piah serta tujuh wakil rakyat PAS dan BERSATU.

Selain mereka yang turut serta dalam misi, jutaan terima kasih juga saya ucapkan kepada Yang Berhormat Ahli-ahli Parlimen yang telah menghulur sumbangan wang untuk menjayakan misi ini dalam majlis di Bangunan Parlimen tengah hari tadi.

Ini adalah kumpulan yang kedua dihantar oleh Sekretariat Aid4Turkiye&Syria daripada empat misi setelah kumpulan yang pertama berlepas ke dua negara terbabit pada 22 Februari lalu.

Misi yang ketiga dan keempat akan menyusul bermula 6 hingga 11 Mac ini manakala yang keempat dijadualkan pada 17 hingga 22 Mac Sekretariat Aid4Turkiye&Syria dibentuk daripada gabungan 34 pertubuhan bukan kerajaan untuk menguruskan misi bantuan kepada mangsa gempa bumi di dua negara berkenaan bawah naungan PASRelief.

Penghantaran misi ini adalah dengan izin rasmi Kerajaan Malaysia menerusi Wisma Putra.

Jutaan terima kasih saya kepada Pengerusi PN, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden BERSATU dan Timbalan Pengerusi PN, YB Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang juga Presiden PAS atas tanda keprihatinan ini.

Semoga ia akan meringankan sedikit beban penanggungan saudara kita di sana atas musibah bencana yang mereka lalui.

Sekian. Salam hormat. Terima kasih.

HAJI MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengerusi PASRelief merangkap Pengerusi Sekretariat Aid4Turkiye&Syria
22 Februari 2023 – HARAKAHDAILY 22/2/2023

Ulasan