Peta jalan kemenangan: Antara dominasi dan perkongsian kuasa




ABNAUL Harakah perlu memahami mengenai Fiqh al-Nasri wa al-Tamkin (Antara dominasi dan perkongsian kuasa) yang dibentangkan oleh YB Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam usaha mencapai kemenangan di negara bermasyarakat majmuk.
Sirah Rasulullah S.A.W pastinya adalah contoh terbaik untuk kita meneroka kemenangan awal dan fasa mengisi kemenangan dalam menegakkan negara bermasyarakat majmuk seperti di Madinah.

Pada fasa awal, penduduk majoriti di Madinah adalah daripada kalangan bukan-Islam. Namun mereka telah hilang kepercayaan kepada pemimpin mereka sendiri dan sedia untuk bernaung di bawah Kerajaan Islam melalui Sahifah Madinah (Piagam Madinah) yang dimeteraikan bersama.

Atas kebijaksanaan Rasulullah S.A.W membawa pemerintahan Islam dalam masyarakat majmuk, penganut Islam semakin bertambah sehingga menjadi kelompok yang terbesar.

Pendekatan yang dibawa Rasulullah ini adalah dengan mengambil kira mengenai dominasi golongan majoriti dan perkongsian kuasa bersama orang bukan-Islam secara adil

Malangnya, perkara yang berbeza berlaku di Malaysia. Kerajaan campuran yang diterajui Pakatan Harapan (PH) sekarang berdepan masalah fiqh dominasi apabila majoriti Ahli Parlimen kerajaan adalah dalam kalangan bukan-Islam.

51 kerusi daripada 82 kerusi PH adalah milik bukan-Islam dan hanya 31 kerusi sahaja milik orang Islam. Berbeza dengan PERIKATAN NASIONAL (PN) yang didominasi oleh orang Islam apabila 74 kerusi yang dimiliki PN, hanya dua kerusi milik bukan-Islam dan Bumiputera.

Berdasarkan fiqh dominasi, sepatutnya yang memimpin kerajaan adalah parti yang mempunyai bilangan kerusi terbanyak dan menggambarkan majoriti rakyat Malaysia.

PH bahkan tidak menjadikan Melayu Muslim yang berintegriti untuk mendominasi penduduk negara ini dan bercampur aduk pula dengan pelbagai ideologi seperti kalangan liberal, puak ekstrem berhaluan kiri mahupun kanan, serta kalangan oportunis.

Justeru, tidak hairanlah jika Kerajaan Campuran sekarang sedang dan akan terus mengalami masalah ketidakstabilan politik.

Dalam mendepani cabaran ini, PAS akan terus memilih pendekatan Muwajahah Silmiyyah (berdepan secara damai) dan melakukan gerak kerja bagi memenuhi syarat kemenangan yang telah ditetapkan.

PAS juga konsisten bersama gabungan orang Islam dan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi mewujudkan kuasa dominasi politik Islam di Malaysia.

YB DATO’ HAJI AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Pokok Sena – HARAKAHDAILY 17/2/2023

Ulasan