KUALA LUMPUR: Sukar untuk Malaysia menuju ke arah negara maju jika kerajaan masih mempunyai mentaliti minda pembangkang dan sibuk membalas dendam.
Ir Khairil Nizam Khiruddin (PN-Jerantut) berkata, kerajaan sepatutnya melaksanakan Reformasi Parlimen terlebih dahulu jika mengimpikan negara yang bergerak ke arah transformasi kecemerlangan.
“Setiap wakil rakyat di dewan yang mulia ini, merupakan wakil rakyat yang dipertanggungjawabkan untuk membawa suara rakyat.
“Kerajaan sepatutnya tidak perlu meletakkan `red tape’ dan penghadang di antara wakil rakyat pembangkang dengan pegawai kerajaan setempat hanya sebab perbezaan idealogi politik,” katanya semasa perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS berkata, berdasarkan pengalaman di kawasannya, banyak program yang ingin dianjurkan bersama jabatan kerajaan dibatalkan pada saat akhir.
“Ada arahan tidak bertulis yang tidak membenarkannya, sedangkan kita sudah habis tempoh berkempen, sudah habis tempoh pilihan raya.
“Sekarang ini rakyat kita bukan Umno, PAS, Bersatu, DAP, tetapi semuanya adalah rakyat Malaysia. Jadi saya mengharapkan perkara ini dapat diselesaikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/2/2023
Ulasan
Catat Ulasan