Sepakat tentukan tarikh bubar DUN


KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, selesai kesepakatan antara Menteri Besar dan Ketua Menteri bagi enam negeri untuk menentukan tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri yang sesuai,” kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menerusi satu hantaran di Facebook, malam ini, beliau berkata sekiranya tiada aral serta diperkenankan Kebawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan dan TYT Yang Dipertua Negeri, mereka berpendapat minggu ketiga atau minggu keempat pada bulan Jun adalah masa yang sesuai.

“Selebihnya tarikh pilihan raya semestinya ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujarnya.

Beliau turut memuat naik foto duduk bersama dengan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan, Ahmad Yakob, Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Enam negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak mengadakan pilihan raya negeri (PRN) serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.

Perlis, Perak dan Pahang sahaja yang mengadakan PRN serentak dengan PRU15 sementara PRN Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor diadakan lebih awal. – HARAKAHDAILY 22/2/2023

Ulasan