SAMBUTAN AIDILFITRI ; APA KHABAR PENEROKA FELDA?




Tahun ini, saya merayakan Hari Pertama Aidilfitri di Felda Moakil yang terletak di dalam Parlimen Pagoh, Johor.

Secara umumnya, suasana Aidilfitri tidaklah semeriah tahun lalu dan tidaklah pula hambar. Penduduk tetap meraikan Hari Raya dengan kepulangan anak dan cucu dari perantauan seperti tahun-tahun terdahulu.

Jika tahun lalu, peneroka meraikan Aidilfitri dengan senyuman kerana pendapatan yang tinggi dan perlupusan hutang oleh kerajaan Pusat namun tahun ini suasana tidaklah sama seperti dahulu.

Sebelum ini perlupusan hutang peneroka FELDA berjumlah RM8.3 bilion telah diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021 namun malangnya kerajaan dilapor tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang itu dan ianya kekal sebagai hutang yang perlu dijelaskan.

Ia telah dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said pada 23 Mac 2023 namun mujurlah keesokan harinya, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh telah memberikan respon segera bahawa perlupusan hutang peneroka RM8.3 bilion telah pun selesai dilaksanakan sebelum ini.

Felda hanya tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua memandangkan pelupusan pada 2021 memberi impak besar kepada aliran tunai Felda.

Tahun lalu, harga minyak sawit mentah (MSM) yang tinggi membolehkan peneroka FELDA menikmati pendapatan yang tinggi sekitar RM12,000 sebulan sekiranya ladang mereka diuruskan dengan baik, seperti mana yang diumumkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh namun realitinya ketika ini, pendapatan peneroka Felda telah menyusut kerana hasil sawit yang rendah.

Ketika ini, harga buah tandan segar (BTS) sawit sekitar RM800 satu metrik tan dengan penghasilan BTS yang rendah sudah tentulah memberikan kesan kepada harga komoditi tersebut dan seterusnya memberikan kesan kepada pendapatan peneroka.

Bayangkan sekiranya hasil sawit BTS sebulan sekitar 4 tan, dengan purata RM800 setan, pendapatan peneroka adalah sekitar RM 3,200 sahaja.

Apabila ditolak hutang bayaran tanam semula, hutang ladang termasuk pinjaman perumahan, baki yang tinggal untuk pene­roka hanya tinggal berapa sahaja?

Itu belum ditolak bayaran bil elektrik dan air, kos perbelanjaan anak sekolah dan bayaran kereta serta kos sara hidup yang semakin meningkat dari masa ke masa.

Bagaimana pula apabila tiba musim melawas selama beberapa bulan seterusnya, ketika sukar untuk mendapatkan hasil BTS yang tinggi, bagaimana pula nasib peneroka.

Menghapuskan hutang peneroka sebelum ini adalah satu tindakan terpuji yang dibuat oleh kerajaan kerana meringankan sangat kehidupan peneroka. Realitinya, ramai peneroka yang sedang mengeluh ketika ini, bukan hanya kerana hasil sawit yang berkurangan, namun mereka juga terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

Peneroka Felda perlu dibela. Jangan jadikan Peneroka Felda mangsa kerana mereka adalah rakyat Malaysia yang berbudi pada tanah untuk menghasilkan pendapatan kepada negara tercinta.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
2 Syawal 1444 bersamaan 23 April 2023

Ulasan