Umum mengetahui cuaca panas yang teramat adalah disebabkan oleh fenomena bahang cuaca yang melanda semenanjung Malaysia. Perubahan iklim yang melanda menyebabkan pemanasan permukaan bumi dari keterikan sinaran matahari dan taburan hujan yang kurang. Perubahan iklim ini memerlukan setiap masyarakat untuk sentiasa berwaspada dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ketika ini.
Suhu maksimum yang direkodkan setakat ini ialah 37 darjah Celcius yang membabitkan negeri-negeri utara Semenanjung dan pedalaman Kelantan dan Pahang menurut Ketua Pengarah Jabatan Meterologi Malaysia (Met Malaysia). Katanya lagi, fenomena ini dijangka tidak berlarutan terlalu lama disebabkan hujan dijangka berlaku di kebanyakan tempat.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia pada 28 April 2023, terdapat 5 kes berkaitan cuaca panas iaitu 3 kes berlaku di Sarawak yang melibatkan kekejangan haba (2 kes) dan kelesuan haba (1 kes), dan 2 kes di Kelantan iaitu kelesuan haba (1 kes) dan kematian (1 kes) manakala yang terkini seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang meninggal dunia akibat didakwa mengalami strok haba, di Kluang, semalam.
Mengambil iktibar dari kes ini, perlu kita mengambil tahu tentang gejala dan simptom awal. Pada peringkat awal, pesakit akan mengalami kelesuan haba (heat exhaustion) dengan gejala keletihan, pening, loya, muntah, dan sakit kepala. Jika pendedahan kepada cuaca panas berterusan, akan berlaku kecederaan haba (heat injury) dan strok haba.
Pada tahap ini pesakit akan menunjukkan gejala seperti suhu badan 40 C atau lebih, denyutan jantung laju, keliru, kulit kering dan kemerahan, tidak sedarkan diri, pengsan atau sawan. Oleh itu, amat penting untuk mengenalpasti pada peringkat awal dan mengambil langkah-langkah pencegahan dan rawatan dengan segera.
Simptom Strok Haba pula ialah apabila suhu badan mangsa melebihi 40 C, fungsi otak terjejas, percakapan tidak teratur, mental mangsa terganggu, sawan, koma dan tiada peluh. Apabila simptom ini ada, anda perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan langkah segera untuk mendapatkan rawatan.
Langkah merawat adalah dengan membaringkan mangsa, gunakan kipas atau penghawa dingin, tinggikan kaki mangsa kemudian setelah stabil berikan minuman air putih yang cukup untuk mangsa. Sentiasa sediakan ais atau pek ais untuk kecemasan di rumah. Tujuan pek ais adalah untuk diletakkan di bahagian tertentu tubuh mangsa, antaranya di leher, ketiak dan celah kangkang mangsa. Ia bertujuan meredakan suhu badan mangsa.
Beberapa langkah pencegahan perlu diamalkan oleh segenap lapisan masyarakat bagi mengelakkan berlakunya kecederaan haba ataupun strok haba dan ini termasuk:
a. Elakkan melakukan aktiviti di bawah sinaran matahari terik atau dalam keadaan yang panas untuk tempoh yang panjang.
b. Elakkan melakukan aktiviti fizikal dalam keadaan letih, lapar atau dahaga yang keterlaluan.
c. Pastikan diri terhidrat dengan minum air kosong 3 hingga 4 liter sehari.
d. Amalkan pemakanan sihat dan seimbang.
e. Memakai pakaian yang longgar dan ringan serta pelindung haba seperti topi atau payung
f. Tidak meninggalkan sesiapa di dalam kenderaan yang parkir di bawah matahari terik.
g. Pastikan pengudaraan yang cukup atau pendingin hawa jika berada dalam rumah atau premis.
Sekian
Dr. Mohd Mazri Yahya
Penolong Pengarah Operasi (Rehabilitation)
Khidmat Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan