KOTA BHARU: Umno-Barisan Nasional (BN) diperingatkan dengan kekalahan dalam pilihan raya dan tumbangnya kerajaan diterajui parti itu di Kelantan dan beberapa negeri termasuk di peringkat Persekutuan.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengimbas sejarah panjang itu pada Ceramah Mega Ppakat Pertahan ‘PAS Pilihanku’ di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.
Ceritanya, PAS telah diberikan mandat oleh rakyat negeri Kelantan sejak tahun 1959 sehinggalah dijatuhkan oleh Kerajaan Umno-BN yang menerajui Persekutuan menerusi pengisytiharan darurat pada tahun 1978.
“Tanggal 21 Oktober 1990, dengan izin Allah SWT telah memberi kemenangan kembali kepada PAS yang pada masa itu bekerjasama dengan beberapa parti termasuk yang diterajui oleh pemimpin Umno yang menjatuhkan kita pada tahun 1978.
“Iaitu (Tan Sri) Tengku Razaleigh Hamzah melalui parti S46. Kemenangan gilang-gemilang kepada PAS. Pada masa itu di Kelantan kita mempunyai 39 kerusi DUN. PAS bersama dengan rakan-rakan Angkatan Perpaduan Ummah (APU).
“Menyapu bersih 39-0 kerusi DUN dan 13-0 kerusi Parlimen mengalahkan Umno-BN,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu dan pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Kelantan itu.
Sambungnya, PRU2018 mencatat sejarah apabila jatuhnya Kerajaan Umno-BN yang memimpin tampuk pemerintahan Persekutuan dan sebelum itu jatuh di Pulau Pinang, Perak dan Kedah pada PRU2008.
Katanya, selepas PRU2018 itu Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menggerakkan agenda Penyatuan Ummah hingga terbentuknya Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai antara PAS dan Umno.
Sehinggalah pada 1 Mac 2020, ujar Takiyuddin, pemerintahan Kerajaan Persekutuan diambil alih daripada Pakatan Harapan (PH) dengan pentadbiran di bawah dua Perdana Menteri setelah itu.
Tetapi ceritanya lagi, peristiwa sama berulang apabila perubahan berlaku selepas PRU15 pada November 2022 lalu menerusi pembentukan Kerajaan Campuran melibatkan antara PH dan BN terutamanya.
Sedangkan menurut beliau, Perikatan Nasional (PN) diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin memiliki 74 kerusi dan dengan gabungan bersama Umno-BN serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak sudah mendapat 115 kerusi ketika itu.
Bagaimanapun katanya, Umno-BN setelah itu menjadi punca tertubuhnya kerajaan diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim apabila Ahli-ahli Parlimennya sama ada secara sukarela atau dipaksa telah mengalih sokongan.
Oleh itu tegas Takiyuddin, jika kerajaan ketika ini melakukan sesuatu yang tidak dipersetujui atau tidak baik pada pandangan rakyat, maka Umno-BN adalah punca kepada tertubuhnya kerajaan ini. – HARAKAHDAILY 12/6/2023
Ulasan
Catat Ulasan