DICARINYA walanon salah Sanusi zaman sekolah dahulu. Diratib betapa nakalnya Sanusi kerana pernah dibuang sekolah. Namun yang rakyat nampak sebalik kenakalan itu, ialah kemiskinan, kesedihan, kesengsaraan dan kesusahan hidup Sanusi. Lalu rakyat bersimpati dan cerita hidup Sanusi di sekolah menjadi cerita sedih yang dirasai oleh rakyat marhaen. Ramai yang menangis membacanya.
Dicarinya walanon kesalahan Kerajaan Kedah, Kelantan dan Terengganu. Dijajanya betapa miskin, jauhnya ketinggalan tiga negeri ini dari arus pembangunan. Padahal rakyat sudah nampak yang kemajuan yang PH kecapi itu adalah datang dari Kerajaan Umno-BN yang suatu masa dahulu memerintah puluhan tahun, PH kutuk sampai lupa dunia, terutama Tun Mahathir. Bila bergabung, terus semua jadi hak cipta PH. Mentang-mentanglah Umno parti minoriti dalam PH.
Dicarinya walanon penyelewengan dalam pentadbiran Kerajaan Terengganu, Kelantan dan Kedah, konon menyusahkan rakyat. Akan tetapi rakyat nampak ada isu yang mungkin satu penyelewengan dalam Skim Insan Selangor, sehinggakan nama orang mati turut didaftarkan dalam skim ini yang kontraknya dipegang oleh syarikat yang dikatakan memberi pinjaman seperti Along.
Dicarinya walanon akan kelemahan tata kelola negeri-negeri pembangkang seperti bajet dan hutang. Akan tetapi rakyat tergelak apabila Kerajaan Negeri Melaka meminta supaya hutang negeri kepada pusat ditukar menjadi geran, dalam masa yang sama semua negeri pembangkang berdisiplin membayar hutang-hutang mereka.
Dicarinya walanon akan kesalahan pimpinan PN dengan gembira mereka bersorak bahawa pimpinan PN telah terbukti melakukan rasuah dengan tangkapan oleh pihak berkuasa. Rakyat pula nampak, mahkamah telah membebaskan dan melepaskan pimpinan PN daripada pertuduhan yang cacat oleh PH itu.
Dicarinya walanon akan hiburan dan konsert yang dibuat di negeri-negeri pembangkang, sebaliknya rakyat nampak jelas tarian gelek wanita Arab, Konsert Port Fest dan juga makan kunafa sambil berjoget di dalam kawasan bukan milik negeri pembangkang.
Dicarinya walanon kehebatan Perdana Menteri ke-10 (PMX) berbahasa Arab sesekali, menyebut petikan al-Quran dan menulis catatan ketika dalam forum soal jawab dengan ulamak yang mereka jemput, kononnya Islamik. Namun rakyat nampak Presiden PAS lebih hebat berpidato dalam Bahasa Arab secara penuh, menulis ratusan buku-buku yang dijadikan rujukan kepada umat serta sentiasa dihubungi oleh ulamak dunia bagi membincangkan masalah politik dunia semenjak dahulu hingga sekarang.
Dicarinya walanon jahatnya Sanusi kerana mengetuk sehelai kertas A4 yang digulung ke atas kepala seorang pelajar perempuan, tiada adab kata mereka. Tetapi rakyat melihat Sanusi hanya bergurau dan keluarga pelajar itu juga bersetuju ia satu gurauan. Kemudian rakyat melihat lagi, ada sentuhan kasih sayang PMX dengan beberapa wanita dewasa, walaupun tanpa mengetuk kepala wanita itu. Rakyat seterusnya nampak, ada gurauan bodoh PMX dengan meminta nombor telefon pelajar dan menjawab dalam keadaan marah kepada satu soalan pelajar matrikulasi berkenaan meritokrasi dan juga soalan wartawan.
Namun walanon tetap walanon, akan mereka berusaha lagi mencari semua benda yang jahat atas PN. Mereka rajin berusaha kerana mereka percaya usaha itu tangga kejayaan. Rakyat percaya atau tidak, itu tidak penting kerana mereka sudah mempunyai peminat yang tersendiri dalam kelab Walanon Se-Malaysia.
Sedagha-sedagha, parti kita, parti derita, walanonpun bertepuk kerana gembira parti mereka miskin. Tetapi rakyat nampak ke parti dia betul-betul miskin?
MOHD NASIR ABDULLAH
24 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 24/8/2023
Ulasan
Catat Ulasan