Nga Kor Ming: Sila minta maaf!




‘TIADA isu’ kata menteri. Betapa angkuh dan bongkaknya jawapan seorang menteri daripada Kerajaan Madani pada hari ini apabila ditegur menggunakan duit kerajaan secara terang-terang untuk mempromosi logo parti DAP.

Jawapan YB Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan ternyata membenarkan dakwaan rakyat di luar sana bahawa pemimpin DAP ini sentiasa rasa dirinya benar, tidak boleh dikritik dan susah untuk menerima kritikan daripada orang yang lain.

YB Nga Kor Ming, Naib Pengerusi DAP harus ingat bahawa menjadi menteri tidak bermakna beliau kebal dan boleh melakukan hal yang tidak bermoral sesuka hati dengan berperisaikan kuasa yang seseorang menteri itu ada.

YB Nga Kor Ming harus ingat bahawa jawatan itu hanyalah sementara yang datang daripada undi rakyat. YB sepatutnya harus bermuhasabah, bertanggungjawab dan memperbetulkan kesilapan yang telah dilakukan bukan menafikannya dengan angkuh dan bongkak!

YB Nga Kor Ming telah meletakkan kayu ukur asas serta ‘kes duluan’ bahawa menteri daripada Kerajaan Madani pada hari ini boleh menggunakan duit kementerian yang ditadbir olehnya untuk mempromosi parti politik mereka.

Lebih melukakan hati kita selaku rakyat Malaysia pada hari ini, ialah apabila mempunyai Perdana Menteri yang setiap hari menyatakan soal tata kelola dan tadbir urus namun pada hari ini langsung tidak menegur tindakan tidak bermaruah dan tidak berintegriti daripada Menteri DAP ini.

Adakah Perdana Menteri ke-10 (PMX) sebenarnya hanya bermuka-muka dan hipokrit apabila berceramah soal tata kelola dalam setiap ceramah PMX pada waktu pagi, siang, petang dan malam?

Atau, lebih parah lagi PMX merestui tindakan Menteri DAP ini yang menggunakan dana kementerian untuk kepentingan ‘mileage’ politik DAP?

Inilah kakistokrasi yang menjadi nasib malang kepada rakyat Malaysia pada hari ini. Mereka ternyata tidak pandai mentadbir negara ini apatah lagi untuk memastikan pentadbiran negara ini berada dalam keadaan tata kelola yang telus dan bersih.

Kami gesa agar YB Nga Kor Ming, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan merangkap Naib Pengerusi DAP untuk minta maaf secara terbuka atas tindakan salah laku yang tidak berintegriti dan tidak bermaruah ini. Duit kementerian itu adalah wang milik negara dan rakyat ini, bukan milik DAP yang boleh kamu lakukan sesuka hati.

Ya Allah, selamatkanlah Malaysia ini daripada tangan pemimpin-pemimpin negara kami yang zalim.

Amin.

ZURK AHMAD
Ketua Pengarah
Jabatan Penerangan PAS Pusat
25 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 25/8/2023

Ulasan