Penyatuan Ummah dan robohnya benteng DAP



RAMAI yang tersalah sangka bahawa Pulau Pinang selamanya akan jadi kubu kuat kepada DAP. Namun, keputusan PRN yang lalu ternyata membuka mata ramai pihak bahawa DAP tidak selamanya kebal seperti kuatnya PAS yang mampu menang dengan bergaya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Secara tidak langsung ini membuka lembaran baru kepada landskap politik di Pulau Pinang bahawa rakyat di Pulau Pinang bersedia untuk menggantikan DAP serta sekutunya dengan gabungan blok politik yang lebih Prihatin, Bersih, Stabil dan meyakinkan.

Amalan tata kelola dan pentadbiran yang cacat oleh pemimpin DAP sama ada di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Negeri semestinya meningkatkan kadar defisit kepercayaan rakyat Pulau Pinang kepada pemimpin DAP dan sekutunya.

Lihatlah bagaimana Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan daripada DAP, YB Nga Kor Ming secara terang-terangan menggunakan logo parti DAP dan HARAPAN bersama jata negara dalam program rasmi kementerian ketika memberikan sumbangan kepada sekolah-sekolah Cina.

Lihatlah bagaimana angkuhnya mereka meneruskan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang akan menjejaskan ekosistem marin dan mata pencarian ribuan nelayan di sepanjang perairan Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Tambahan lagi, sifat lunak DAP kepada sebahagian pemimpin Umno yang korup ini menambahkan lagi muaknya rakyat Malaysia khususnya dalam kalangan Masyarakat Cina dan India kepada pemimpin DAP hari ini.

Ternyata perjuangan sekular DAP yang pada awalnya bertegas demi tata kelola dan pentadbiran yang telus dan bersih kini berubah menjadi perjuangan yang berkompromi dengan amalan salah guna kuasa dan pecah amanah.

Penyatuan Ummah adalah solusi dan jalan keluar buat rakyat Malaysia khususnya di Pulau Pinang.

Teori politik PAS yang berpandukan kepada al-Quran, al-Sunnah, Ijmak dan Qias ternyata membuahkan hasil apabila formula Penyatuan Ummah yang menjadi strategi politik terbesar Baginda S.A.W dihidupkan oleh PAS pada hari ini.

Meskipun mendapat sedikit cabaran ketika fasa awal tertubuhnya Muafakat Nasional bersama Umno dan kini hanya bersama BERSATU, namun formula ini telah membantu PAS menjadi parti tunggal paling ramai Ahli-ahli Parlimen dalam Dewan Rakyat (43 Ahli Parlimen) dan telah memenangi kerusi DUN paling banyak dalam PRN yang lalu.

Dalam keadaan PERIKATAN NASIONAL Pulau Pinang yang masih dalam fasa pemerkasaan dalaman, DAP telah dihimpit dengan sangat dahsyat dalam PRN yang lalu. Bayangkan sekiranya PN Pulau Pinang diberi sedikit masa lagi pastinya DAP dan sekutunya akan gulung tikar.

Nantikan.

YB USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya
PAS Negeri Pulau Pinang
ADUN Sungai Dua
24 Ogos 2023 – HARAKAHDAILY 24/8/2023

Ulasan