SHAH ALAM: Tindakan kerajaan negeri mendaftar penduduk di negeri itu di bawah Skim Insurans Hayat Selangor (INSAN) tanpa pengetahuan mereka dianggap melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.
Ketua Penerangan Bersatu Selangor, Mohd Hamidi Abu Bakar berkata tindakan pendaftaran nama tanpa kebenaran merupakan satu kesalahan dan menyalahi undang-undang.
Katanya perkara malang tersebut dilakukan Kerajaan Negeri Selangor tanpa pengetahuan rakyat.
“Tiba-tiba nama mereka ada dalam senarai INSAN walaupun ramai daripadanya mendakwa tidak memohon skim terbabit. Perkara ini jelas satu kesalahan.
“Tindakan tersebut mencabuli data peribadi rakyat dan terdapat juga laporan individu yang meninggal dunia didaftar dalam skim tersebut.
“Isu ‘data breach’ warga Selangor terhadap Insurans INSAN Selangor perkara yang serius,” katanya pada kenyataan di sini.
Sebelum itu Pemuda PAS Selangor mendakwa Skim Insuran Am Selangor dijalankan kumpulan individu mendaftar pengundi di negeri itu di bawah skim terbabit sejak 2022.
Ketuanya Mohamed Sukri Omar berkata, rakyat Selangor khususnya yang mengundi di negeri itu didaftarkan di bawah skim terbabit kini berstatus aktif dan dijadualkan luput pada November hadapan.
Media hari ini melapor Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari menafikan kebocoran data serta dakwaan rakyat didaftarkan tanpa izin.
Menurutnya pendaftaran automatik dibuat dengan status ‘pra pendaftaran’.
Menurut Mohd Hamidi Kerajaan Selangor mencabuli data rakyat tanpa persetujuan penama.
“Menteri Besar memberi jawapan tidak acuh tidak acuh dan gagal memahami isu tersebut. Beliau tidak menjelaskan secara terperinci persoalan rakyat yang risau data peribadi mereka dibocorkan,” katanya.
Beliau juga berkata, pengendali skim tersebut Wavpay Fintech Sdn Bhd perlu memberi penjelasan berhubung kontrak sistem yang diberi sama ada ia menjalani proses ditetapkan.
“Isu ini melibatkan data peribadi rakyat. Kerajaan sepatutnya melindungi hak dan data peribadi rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/8/2023
Ulasan
Catat Ulasan