Banjir Libya: Ratusan mayat ditemui bergelimpangan di pantai Derna




VALLETTA: Pasukan penyelamat Malta kelmarin menemui ratusan mayat bergelimpangan di pantai bandar Derna, Libya yang dibadai banjir dahsyat pada Ahad minggu lalu, menurut Jabatan Perlindungan Awam Malta, semalam.

Ketua pasukan itu, Natalino Bezzina memberitahu akhbar Times of Malta, bilangan mayat terbabit dianggarkan berkemungkinan mencecah kira-kira 400 mangsa.

Malta telah menempatkan sekumpulan 72 anggota penyelamat dari Jabatan Perlindungan Awam dan pasukan tentera sejak Rabu lalu.

Pada mulanya, sekumpulan empat anggota penyelamat menemui tujuh mayat, termasuk tiga kanak-kanak, di dalam sebuah gua di tepi laut.

Mangsa terbabit dipercayai dihanyutkan ke laut dalam tragedi banjir dahsyat yang melanda Derna, sebuah bandar pelabuhan di timur Libya selepas hujan lebat menyebabkan dua empangan pecah.

Bezzina berkata, kumpulan kecil anggota penyelamat Malta itu terjumpa gua terbabit yang separuh ditenggelami air, sebelum menemui mayat di dalamnya.

Ketika kumpulan itu meneruskan usaha pencarian, mereka disertai pasukan Libya yang juga sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bencana berkenaan.

Mereka kemudian menjumpai sebuah teluk kecil yang dipenuhi sisa serpihan hanyut dan beberapa ratus mayat. - REUTERS


https://www.bharian.com.my/dunia/eropah/2023/09/1153684/banjir-libya-ratusan-mayat-ditemui-bergelimpangan-di-pantai-derna

Ulasan