KENAIKAN kos hidup ini satu krisis besar dan kini perit dirasai oleh rakyat jelata. Ia bukan isu yang dipolitikkan tetapi ia isu ‘real‘. Kenaikan harga barang selain kejatuhan nilai Ringgit Malaysia banyak menyumbang ke arah krisis ini.
Selama 11 bulan Kerajaan Campuran PH-BN ini dengan janji bulan dan bintang, diharapkan dapat membela dan mengangkat nasib rakyat tetapi ternyata sehingga ke hari ini mereka gagal, dan kesannya menghimpit kehidupan rakyat keseluruhannya.
Dalam akhbar The Star hari ini muka surat 11 mengulas kos kehidupan di Johor, wartawannya menulis bawah tajuk ‘Families finding it hard to save due to higher expenses‘ (Kenaikan tinggi perbelanjaan mengakibatkan keluarga sukar menabung) bahawa dengan kenaikan harga barangan semasa, ramai keluarga mendapati sukar untuk menabung secara konsisten.
Menurut seorang ketua keluarga Melayu Muhammad Khairusy Syakirin, 31, kenaikan kos hidup mengakibatkan beliau terpaksa mengutamakan keperluan isteri dan anak-anaknya sebelum dirinya sendiri. Kata beliau mereka terpaksa merancang dan menyenaraikan keperluan barang-barang runcit setiap bulan sebelum membeli dan itupun setiap trip mereka berbelanja RM300.
Selain itu beliau terpaksa memperuntukkan RM800 untuk keperluan bulanan dua anak lelaki dan perempuannya selain RM600 untuk yuran yang berkaitan mereka. Tambah beliau dengan kenaikan harga beras dan keperluan asas lain yang sentiasa naik, ianya semakin menyukarkan beliau untuk menabung tiap bulan.
Ada ketikanya kata beliau lagi wang simpanannya tidak cukup untuk menampung keperluan kecemasan. Menurutnya lagi sejujurnya kini semakin sukar untuk menyimpan dalam keadaan hari ini.
Itu keadaan hidup seorang ketua keluarga di Johor Bahru, bayangkan di tempat lain yang pendapatannya mungkin tidak sama dengan Muhammad Khairusy tadi. Sejujurnya berapa RM agaknya rakyat Malaysia paras B40 menabung atau menyimpan setiap bulan?
Ini bukan laporan dari media sosial pro pembangkang atau Harakah, tetapi dari akhbar The Star yang lebih dipercayai oleh pihak Kerajaan sepatutnya.
Harga beras bukan sahaja naik, beras tempatan pula sukar didapati. Telur juga begitu. Harga sayuran, ikan, daging dan ayam juga naik. Harga gula juga. Dan terkini kita dapati Syarikat Gardenia telah menaikkan harga rotinya dan harga tepung gandum juga dijangka naik lagi.
Jangan keluar cadangan yang pelik-pelik. Tak perlu keluar makan, tak perlu makan beras. Rakyat tidak mahukan penafian dan cadangan yang tidak munasabah. Apa yang rakyat perlukan adalah penyelesaian, kerana kerajaan ini menjanjikan mahu membela nasib dan kehidupan mereka, malangnya setakat ini ia terbukti gagal.
Tak perlulah membawa rombongan ke luar negara, bermewah-mewah dan bermegah-megah sedang rakyat di negara sendiri sedang merintih menuntut penyelesaian.
Sama ada masalah yang menghimpit kehidupan rakyat ini diselesaikan segera atau kerajaan ini terbukti kerajaan yang gagal.
ROSLAN SHAHIR DATUK MOHD SHAHIR
Setiausaha Perhubungan
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 27/9/2023
Ulasan
Catat Ulasan