Gembleng sumber, kuasa politik capai 30 peratus ekuiti Bumiputera


Oleh Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid - September 22, 2023 @ 12:36pm

Dasar Ekonomi Baharu (DEB) adalah antara dasar menjadi harapan menggunung kepada survival ekonomi orang Melayu-Bumiputera. Bagaimanapun, selepas DEB berakhir pada 1990, sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti Melayu-Bumiputera masih tidak tercapai.

Namun, 'semangat' DEB tetap diteruskan kerajaan dengan nama lain seperti Dasar Pembangunan Nasional (DPN), Wawasan 2020, Wawasan Kemakmuran Bersama (2030) dan kini Ekonomi MADANI.

Sehingga kini, daripada 30 peratus disasarkan DEB, hanya 19 peratus mampu dicapai. Sebanyak lapan Perdana Menteri silih berganti dengan pelbagai dasar, strategi dan inisiatif, namun ia masih belum menampakkan kejayaan disasarkan.

Ia diperkukuhkan lagi dengan penubuhan agensi khusus menangani sosioekonomi orang Melayu seperti FELDA, Permodalan Nasional Berhad (PNB), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Ekuiti Nasional Berhad, FELCRA, Tabung Haji, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB), Tindakan Pembangunan Bumiputera (TPB) dan puluhan lagi. Namun, pencapaian masih jauh daripada memuaskan.

Laporan awal Status Ekonomi Bumiputera (2019) Institut MASA merumuskan ketidaksamaan dalam mobiliti ekonomi Bumiputera bukan sahaja berlaku antara kaum, tetapi juga sesama kaum, sektor korporat, bandar dan luar bandar serta ekuiti.

Berdasarkan Laporan Pemilikan Ekuiti Korporat 2011 oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) sejak 2008 sehingga 2015, nilai dan peratusan ekuiti sektor korporat Bumiputera tidak banyak berubah dan semakin menurun iaitu 22 peratus (2008), 23 peratus (2011), 18 peratus (2012), 17 peratus (2013), 17 peratus (2014) dan 16 peratus (2015).

Dalam konteks guna tenaga pula, penyertaan Bumiputera dalam bidang profesional terpilih seperti akauntan, arkitek, doktor, doktor gigi, doktor veterinar, jurutera, juruukur dan peguam semakin meningkat sejak pelaksanaan DEB.

Pada 2021 misalnya penyertaan profesion Bumiputera terpilih melebihi 50 peratus iaitu juruukur (63.7 peratus), juruukur bahan (61.9 peratus), doktor gigi (53.4 peratus) dan pereka dalaman (53.1 peratus). Penyertaan profesion lain adalah kurang 50 peratus iaitu arkitek (41.7 peratus), peguam (38.5 peratus) dan akauntan (31.4 peratus).

Sebanyak 35.2 peratus tenaga buruh Bumiputera berpendidikan tinggi direkodkan berbanding 64.8 peratus pendidikan menengah ke bawah. Selain pendidikan, pembasmian kemiskinan juga mengalami anjakan membanggakan berbanding sebelum DEB diperkenalkan.

Faktor gagal capai sasaran

Berdasarkan beberapa analisis laporan dan kajian dijalankan penyelidik akademik, antara faktor kegagalan orang Melayu mencapai sasaran pemilikan ekuiti 30 peratus kerana;

l Faktor struktural

Dalam aspek ini, penguasaan modal, buruh dan tanah Bumiputera didapati lebih rendah berbanding bukan Melayu. Pelaksanaan dasar liberalisasi ekonomi sejak 2002 dan pembubaran Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) pada 2009 turut menyumbang peningkatan pemilikan asing.

Sabotaj ekonomi akibat rasuah, penyelewengan, manipulasi data, monopoli dan pengaturan proksi antara faktor menyebabkan usaha membangunkan kumpulan ketinggalan terencat.

Faktor operasi

Ia didasari kurangnya kemahiran, pengawal rantaian bekalan dan jaringan pemasaran di samping Bumiputera sangat berharap serta bergantung kepada agensi kerajaan berkaitan.

Sikap dan pemikiran orang Melayu

Ia menyentuh soal mentaliti kebergantungan Melayu-Bumiputera dan berharap sepenuhnya kepada subsidi serta bantuan kerajaan. Ia termasuk nilai keusahawanan yang rendah untuk maju, berdikari dan bekerja keras khususnya dalam meneroka peluang baharu perniagaan serta daya saing dan daya juang sederhana atau rendah.

Kepemimpinan Melayu

Dalam hal ini, perlu diakui wujudnya kurang keazaman atau tekad politik pemimpin untuk memajukan orang Melayu-Bumiputera atau terbabit dengan amalan kronisme dan nepotisme, salah guna kuasa dan penyelewengan dalam pemberian kontrak serta tender kerajaan.

Ia termasuk tiada hala tuju dan perancangan jelas dan bersasar dengan komitmen tinggi untuk melaksanakan dasar afirmatif dalam sektor ekonomi, politik mahu pun sosial.

Selain itu, pemimpin Bumiputera tidak mengkaji dan menganalisis secara sistematik kejayaan serta kegagalan dasar pemilikan ekuiti 30 peratus, tetapi banyak tenaga ditumpukan kepada pertikaian politik sesama sendiri berbanding meningkatkan kemajuan sosioekonomi Bumiputera.

Sistem penyampaian dan integriti penjawat awam

Ada pegawai culas dan tidak menjalankan tanggungjawab dengan amanah serta berintegriti, di samping gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa antara pemberi, penerima dan orang tengah.

Ia termasuk ketirisan dalam agihan nilai kontrak diterima kontraktor Bumiputera, selain kegagalan agensi kerajaan menggerak dan memantau pelaksanaan dasar memperbaiki sosioekonomi Bumiputera.

Faktor lingkungan

Tiada suatu sistem pelaporan pencapaian DEB setiap tahun boleh diakses secara terbuka dan telus selain berlaku amalan 'Ali Baba' bagi kontrak dan tender diperoleh kepada bukan Melayu.

Berdasarkan hukum pareto, 80 peratus daripada faktor ketidakcapaian 30 peratus ekuiti berpunca daripada orang Melayu sendiri, sama ada sebagai pembuat dasar atau pelaksana dasar.

Hanya 20 peratus ketidakmenjadian ini berpunca daripada faktor luar seperti sokongan orang bukan Melayu dalam sektor swasta dan tekanan ekonomi global. Dengan kata lain, kejayaan DEB sebenarnya banyak bergantung kepada orang Melayu sendiri pada semua peringkat pelaksanaannya.

Perlu dilihat dalam sudut lebih luas bahawa pemimpin, pelaksana dan instrumen semuanya dikuasai orang Melayu, justeru bagaimana mungkin ekuiti 30 peratus masih terkial-kial untuk dicapai.

Orang Melayu-Bumiputera yang menikmati 'hak keistimewaan' juga perlu menyalahkan diri sendiri dan melakukan restropeksi atas sikap serta kelalaian memanfaatkannya.

Justeru, ketika masa, sumber dan kuasa politik berbaki masih dimiliki orang Melayu, maka semua pihak mesti komited, ikhlas dan bersungguh-sungguh menjayakannya. Perlu diakui, ekuiti 30 peratus bukan sekadar nombor perlu dicapai dan digapai Melayu-Bumiputera. Ia adalah lambang maruah dan harga diri mesti ditebus menerusi tindakan.

Penulis adalah Penyelidik Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia


Ulasan