Jangan sampai PM buat tugas 10 menteri




TIADA mana silapnya kalau nama menteri pun rakyat lupa. Lupa sebab ada menteri terbabit tidak buat kerja sewajarnya dalam portfolio diberi.

Ramaikah? Kalau makan cili dia akan terasa pedas. Hari ini ramai kalangan kita tak ingat pun nama menteri. Apa lagi timbalan menteri. Barangkali terlalu ramai senarai­nya yang berbeza-beza sejak 2018 tiga kali bertukar kerajaan. Bila masuk kali keempat melalui pilihan raya umum 19 November 2022, lagi muncul wajah baharu.

Tapi itu alasan sahaja. Kalau benar buat kerja, tanggungjawab itu dipikul dengan amanah dan komitmen tinggi, menteri berkenaan tidak dilupakan.

Contohnya arwah Datuk Seri Salahuddin Ayub. Walaupun jasa dan sumbangan arwah lebih terserlah dan diingati setelah pemergiannya dalam memperkenalkan segala inisiatif Rahmahnya, baik “menu, bakul, pakej dan kafe”, ia jelas bukti keberkesanan buah tangannya. Idea dan ilham beginilah yang dituntut daripada seorang menteri. Apa lagi mengepalai sebuah kementerian yang perlu memberi kelegaan kepada rakyat berdepan kos sara hidup.

Sebenarnya ramai kalangan menteri kita berpotensi dan mampu menyerlah. Mereka hanya perlu fokuskan sekurang-kurangnya lima perkara pokok yang menjadi permasalahan besar rakyat.

Contohnya, khidmat kesihatan percuma melibatkan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, diabetes dan jantung. Kita maklum untuk rawatan pakar sahaja di hospital swasta menelan belanja hingga puluhan ribu ringgit. Untuk keluarkan tahi telinga yang tersumbat oleh pakar telinga, hidung dan tekak sahaja kosnya sekitar RM600. Itu belum lagi meredakan resdung.

Jadi, menteri berkenaan fikirkan jalannya. Pakatlah de­ngan pihak-pihak insurans. Lihat dan nilai model yang ada di negara luar untuk dipraktikkan di sini.

Hari ini berapa ramai orang kurang upaya, autisme dan sindrom down di negara ini? Menteri jika komited untuk kurangkan beban ditanggung keluarga mereka ini, perlu tampil dengan idea-idea baharu yang realistik dan penguatkuasaan dilakukan tanpa ragu-ragu. Misalnya, pencegahan tabiat merokok di tempat larangan awam dan kenderaan melebihi garisan putih jika dikuatkuasakan tanpa kompromi, ia akhir­nya akan menjadi tabiat dan budaya rakyat kita.

Jika seorang menteri boleh fikir dan selesaikan lima perkara besar yang melingkari permasalahan rakyat, kalau 28 kementerian sudah berapa jumlah idea dan kejayaannya?

Daya fikir setiap menteri itu yang kita dambakan. Bukannya berlagak macam ahli parlimen yang ‘bertekak, melolong’ memanjang setiap kali masuk Dewan Rakyat.

Kita tidak mahu nanti menteri menikmati segala macam insentif, tapi khidmat tidak mencapai aras piawaiannya.

Tambah teruk nanti pula sampai perdana menteri sendiri terpaksa turun padang selesaikan isu-isu yang bersangkut-paut kementerian berkenaan. Bila sampai beliau terpaksa menjalankan tugas sehingga 10 menteri, apa lagi yang kita mahu sandarkan harapan?

Tidak perlu fikiran manusia lagilah. Elok sahaja guna robot dan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) yang diuar-uarkan cukup popular masa ini.

Dan elok juga dengar khabarnya akan ada rombakan Kabinet dalam waktu terdekat. Struktur dan tukar sahaja jika itu satu-satunya jalan dalam pastikan daya juang dan daya saing Kabinet Malaysia yang berterusan dan dinamik.

Zulkifli Jalil adalah Timbalan Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia


https://www.utusan.com.my/commentary/jangan-sampai-pm-buat-tugas-10-menteri/

Ulasan