Risiko penularan penyakit burukkan lagi krisis kemanusiaan di Libya


DERNA: Pasukan misi bantuan memberi amaran akan peningkatan risiko akibat perebakan penyakit yang boleh memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Libya susulan banjir dahsyat pada Ahad minggu lalu.

Harapan juga semakin pudar kini untuk menemukan lebih ramai mangsa terselamat dalam tragedi berkenaan yang menyaksikan ribuan penduduk dan kediaman di Derna dihanyutkan arus deras ke laut.

Setakat ini, beberapa angka kematian berbeza dilaporkan, dengan jumlah terkini yang dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Othman Abdeljalil, hari ini, telah mencecah 3,166 korban.

Di Al-Bayda yang terletak kira-kira 100 kilometer barat Derna, kerja pembersihan giat dijalankan di rumah dan jalan raya yang dilitupi lumpur tebal selepas banjir surut.

Organisasi misi bantuan seperti Islamic Relief dan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) memberikan amaran bahawa kesan bencana itu bakal mencetuskan penularan penyakit, dan kesukaran besar untuk menyampaikan bantuan kepada golongan yang paling memerlukan.

Islamic Relief menyuarakan kebimbangan akan krisis kemanusiaan yang kedua selepas banjir itu, membabitkan peningkatan risiko penyakit bawaan air dan kemelut kekurangan makanan, tempat berlindung serta ubat-ubatan.

"Beribu-ribu penduduk tidak mempunyai tempat untuk tidur dan tiada makanan. Dalam keadaan sebegini, penyakit juga boleh merebak dengan pantas berikutan sistem air tercemar.

"Bandar itu berbau seperti 'kematian'. Hampir setiap orang kehilangan insan yang mereka kenali," kata Timbalan Pengarah Pembangunan Rakan Kongsi Islamic Relief, Salah Aboulgasem.

MSF pula memaklumkan bahawa pihaknya menempatkan pasukan di timur untuk melakukan penilaian terhadap aspek air dan sanitasi.

"Dengan berlakunya peristiwa seperti ini, kami benar-benar khuatir mengenai penyakit berkaitan air," kata penyelaras perubatan MSF di Derna, Manoelle Carton yang turut menggambarkan usaha menyelaraskan bantuan sebagai 'huru-hara.' - AFP



Ulasan