TikTokers bukan satu pekerjaan, realiti sebenar hidup pempengaruh terkapai-kapai - Dr Malar




KUALA LUMPUR : Menjadi TikTokers bukanlah satu pekerjaan yang boleh menjamin pulangan yang stabil dalam kehidupan.

Itulah pandangan pegawai perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan atau dikenali Dr Malar, sambil menasihatkan anak muda masa kini, tidak terlalu teruja menceburi bidang pempengaruh media sosial.

"Menjadi TikToker bukannya satu pekerjaan. Yang meniaga di TikTok adalah usahawan macam Khairulaming, itu bukan TikTokers namanya, mereka adalah ahli perniagaan.

"Yang meniaga, boleh gunakan platform seperti TikTok dan juga Facebook untuk menjana jualan. Yang bekerja, boleh gunakan platform sebegini untuk 'side income'.

"Tapi kalau nak hidup dengan menjadi TikTokers sepenuh masa, hidup anda akan dipenuhi dengan ketidakstabilan," kongsinya dalam Facebook beliau, Celoteh Dr Malar.

Dr Malar kini bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Columbia Asia, Cheras, Selangor

Katanya, pempengaruh mempunyai pendapatan yang tidak menentu, malah ada yang mengharapkan pulangan dengan membuat pelbagai 'review', namun hasil yang dinanti tidak berkunjung tiba.

"Sekejap 'income' tinggi, sekejap langsung tidak ada pendapatan berbulan-bulan. Tak cukup dengan itu, realiti sebenar kehidupan pempengaruh adalah kehidupan terkapai-kapai sebab banyak pihak akan mintak 'review free', pergi fashion 'show for free', jadi model percuma, buat 'content free' dan macam-macam lagi.

"Nampak macam mereka hidup mewah dan gembira, tapi hakikatnya mereka sendiri penat sebab asyik bagi 'free review', yang berbayar tak datang jua. Dia macam tunggu bulan jatuh ke riba jugalah," katanya.

Beliau mengulas demikian selepas berkongsi kisah ketika memberi ceramah di sebuah sekolah di Ampang, Selangor di mana ramai pelajar yang menjadi pesertanya menyatakan cita-citanya untuk menjadi seorang pempengaruh.

"Saya bertanya adik-adik Tingkatan Tiga. Siapa nak jadi doktor? Adalah dalam lima, enam orang angkat tangan.

"Siapa nak jadi jurutera? Dalam dua, tiga orang angkat tangan. Siapa nak jadi cikgu? Dalam empat, lima orang angkat tangan.

"Saya rasa pelik sangat sebab jumlah pelajar adalah lebih kurang 200 orang. Jadi dengan perasaan ingin tahu, saya

bertanya, korang ni semua nak jadik apa?.

"Masing-masing menjeritkan sesuatu dan saya tak berapa dengar apa mereka sebutkan.. tapi saya macam dapat tangkap beberapa perkataan. Maka, saya tanya, siapa nak jadi Tiktoker?

"Suku dewan tu angkat tangan, terutamanya murid perempuan yang duduk di belakang. Siapa nak jadik Youtuber? lagi suku dewan angkat tangan, kali ini lelaki majoriti.

Saya tergamam sekejap! Dengan itu, saya menjawab kepada adik-adik itu dengan muka penuh garang, menjadi Tiktoker bukannya satu pekerjaan," katanya.

Justeru, Dr Malar turut menasihatkan pelajar mencari ilmu dan pekerjaan yang menjamin pendapatan stabil.

"Nak meniaga boleh... tapi Maths (Matematik) kena power. Marketing (pemasaran) kena power. Comunications Skills kena power," katanya.

Paling penting menurutnya, berniaga perlu bersedia berdepan dengan kerugian dan jika tidak mampu jangan berniaga, sebaiknya kerja makan gaji.

"Jadi kepada adik-adik di bangku sekolah, Fahami betul-betul apa yang Kak Malar nak cakap ni..

"Kejar dan timba ilmu sebanyak mungkin, dapatkan pekerjaan yang memberi pendapatan stabil dan kumpul duit banyak, selepas itu berniaga secara bermaruah," katanya sambil menegaskan jadilah anak generasi bijak, berilmu dan berdaya saing.

Platform media sosial TikTok dan YouTube kini menjadi trend kepada anak muda untuk menjana pendapatan, khususnya bagi tujuan mempromosi produk untuk perniagaan serta mencipta kandungan yang boleh menarik tontonan tinggi.

Ulasan