Israel kembali serang Syria, Lubnan




TEL AVIV: Tentera Zionis Israel telah melakukan serangan terhadap infrastruktur ketenteraan di Syria dan Lubnan, di tengah-tengah kebimbangan serangannya terhadap Hamas yang boleh bertukar kepada konflik perang yang lebih meluas di seluruh Timur Tengah.

Kenyataan Angkatan Tentera Israel (IDF) berkata, jet pejuangnya telah menyerang pelancar roket di Syria dan sasaran Hizbullah di Lubnan sebagai tindak balas kepada pelancaran roket awal ke wilayah Israel, lapor Al Jazeera.

Kementerian Pertahanan Syria pula menyatakan bahawa beberapa serangan udara IDF menyasarkan pos tentera di bandar Daraa di barat daya Syria, yang menyebabkan kerosakan besar.

“Tentera udara Israel telah menyerang sekitar jam 1:35 pagi (2335 GMT) dari arah Golan Syria yang diduduki, menyasarkan dua kedudukan angkatan bersenjata kita di kawasan luar bandar Daraa,” ujar kenyataan itu.

Terdahulu, tentera Israel telah terlibat dalam pertempuran rentas sempadan dengan kumpulan bersenjata Lubnan Hizbullah dan telah melancarkan serangan udara berulang kali ke Syria sejak melancarkan perangnya ke atas Hamas.

Amerika Syarikat juga telah melakukan serangan ke atas Syria sebagai tindak balas kepada peningkatan mendadak dalam serangan roket dan dron ke atas tenteranya di Syria dan Iraq, yang telah dipersalahkan oleh kumpulan proksi yang disokong Iran.

Pada Khamis (23 Okt) lalu, Pentagon berkata ia telah melakukan serangan ke atas dua kemudahan di Syria yang digunakan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dan kumpulan yang disokong Iran selepas Presiden, Joe Biden sebelum ini berikrar untuk bertindak balas terhadap serangan ke atas kakitangan AS.

Sementara itu, Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei telah memberi amaran pada awal bulan Okt ini tentang peningkatan serantau jika Israel meneruskan perangnya terhadap Hamas.

Pada minggu lalu pula, Presiden Rusia, Vladimir Putin memberi amaran bahawa konflik Hamas-Israel boleh melangkaui sempadan Timur Tengah jika Israel tidak menamatkan pengebomannya ke atas Gaza.

Penasihat Keselamatan Negara AS, Jake Sullivan pada Ahad (29 Okt) pula berkata dalam temu bual dengan ABC News bahawa terdapat risiko ‘sebena’ perang meningkat menjadi konflik serantau yang lebih luas.

Dalam pada itu, Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian memberitahu CNN pada Sabtu (28 Okt) bahawa negaranya tidak mahu melihat perang itu merebak dan bahawa adalah ‘sangat salah’ untuk Washington membabitkan Tehran dalam konflik Hamas-Israel tanpa memberikan bukti.

Iran, yang menyokong kedua-dua Hamas dan Hizbullah, telah menafikan sebarang peranan dalam serangan Hamas pada 7 Okt ke atas Israel; manakaala AS dan Israel berkata mereka tidak menemui bukti penglibatan Iran.

Pegawai kerajaan Iran, bagaimanapun, mengucapkan tahniah kepada kumpulan bersenjata Palestin khususnya Hamas, menyifatkan serangan mengejut ke atas Israel sebagai kemenangan bagi ‘penentangan anti-Zionis’. – HARAKAHDAILY 30/10/2023

Ulasan