MyOnePAS: Selamat, boleh diakses menjelang akhir Nov


KUALA LUMPUR: PAS merujuk kepada artikel berbahasa Inggeris bertajuk PAS’s app poses ‘security risk’ warns tech experts yang disiarkan oleh portal berita FMT semalam berkaitan aplikasi super app MyOnePAS yang dilancarkan pada Muktamar Tahunan PAS ke 69, 21 Oktober lalu. (Foto atas)

Sehubungan itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengucapkan terima kasih atas minat dan perhatian yang diberikan terhadap inisiatif pendigitalan pengurusan parti itu, sekali gus menyambut baik pandangan yang diutarakan, terutamanya mengenai isu sekuriti melibatkan kit pakej android (APK) bagi memuat turun aplikasi berkenaan.

“PAS amat memahami dan mendengar keprihatinan serta kegusaran orang ramai termasuklah pakar teknologi maklumat mengenai aplikasi MyOnePAS Super App yang baru dilancarkan itu,” ujarnya dalam kenyataan media, malam tadi.

Kenyataan penuh beliau sebagaimana di bawah.

PAS merujuk kepada artikel berbahasa Inggeris bertajuk “PAS’s app poses ‘security risk’ warns tech experts” yang disiarkan oleh portal berita FMT semalam berkaitan aplikasi super app MyOnePAS yang dilancarkan pada Muktamar Tahunan PAS ke 69, 21 Oktober lalu.

PAS mengucapkan terima kasih atas minat dan perhatian yang diberikan terhadap inisiatif pendigitalan pengurusan parti itu, sekali gus menyambut baik pandangan yang diutarakan, terutamanya mengenai isu sekuriti melibatkan kit pakej android (APK) bagi memuat turun aplikasi berkenaan.

PAS amat memahami dan mendengar keprihatinan serta kegusaran orang ramai termasuklah pakar teknologi maklumat mengenai aplikasi MyOnePAS Super App yang baru dilancarkan itu.

Sebenarnya ini merupakan satu langkah perubahan besar yang diambil oleh PAS untuk menuju ke arah pendigitalan sejajar dengan perkembangan semasa.

Namun ia masih dalam bentuk fasa awal atau pengujian Beta dengan tujuan utamanya untuk mendapatkan maklum balas dan dalam masa yang sama memberikan pengenalan awal aplikasi kepada orang ramai, khususnya ahli PAS sendiri.

Seperti yang dimaklumkan semasa pelancarannya, aplikasi MyOnePAS adalah langkah pendigitalan pengurusan parti yang disediakan untuk ahli-ahli PAS dan pihak-pihak yang berminat secara sukarela dan dilengkapi dengan kemudahan kad pra-bayar, e-dompet, pembayaran bil, panduan salat dan kiblat, kad debit dan pelbagai urusan parti, termasuk sumbangan derma dan keahlian.

PAS, termasuk pembangun aplikasi ini, iaitu PASpay Technology Sdn. Bhd. (PASpay) memberi akujanji akan mengambil serius semua maklum balas dan pandangan yang diterima bagi memastikan aplikasi yang menjurus kepada gaya hidup digital secara Islamik ini dapat berfungsi sebaiknya apabila ia boleh dimuat turun sepenuhnya.

Ini termasuklah dari segi keselamatan dan kami sedia maklum mengenai isu ini dan telah meminta PASpay mempertingkatkan lagi kesedaran kepada pengguna agar mereka yang ingin menggunakan aplikasi MyOnePAS (dalam tempoh pengujian Beta) boleh memilih untuk turut serta membuat permohonan melalui laman web rasmi www.myonepas.com sahaja.

Dalam hal ini juga PAS percaya, mana-mana pihak yang mempunyai kemusykilan tentangnya termasuk penulis seharusnya terlebih dahulu menghubungi pihak pengurusan PAS yang bertanggungjawab atas inisiatif ini atau merujuk kepada makluman terkini yang disiarkan oleh PAS sebagai langkah wajar yang selaras dengan etika kewartawanan standard bagi menghindari salah maklumat, kekeliruan atau pun kemungkinan laporan berat sebelah dan tidak kemas kini.

Susulan pelancaran aplikasi berkenaan, PAS telah mengeluarkan satu Memo Setiausaha Agung bertarikh 23 Oktober 2023 sebagai penerangan lanjut kepada ahli-ahli PAS khasnya mengenai aplikasi MyOnePAS berkait beberapa perkara, termasuk isu-isu sekuriti yang dibangkitkan.

Ia antara lain menyebut bahawa ketersediaan aplikasi ini yang boleh dimuat turun secara eksklusif melalui fail APK buat masa ini adalah langkah sementara dalam proses penyediaan aplikasi berkenaan ke fasa seterusnya.

Saya berharap pengguna dapat bersabar dan menunggu aplikasi MyOnePAS ini dimuat naik secara rasmi dalam Google Play Store dan Apple App Store yang dijangka pada hujung November ini.

Setakat ini, pengguna yang sudah pun memuat turun aplikasi ini boleh menggunakan fungsi-fungsi percubaan seperti arah kibat, waktu solat, infaq istiqamah dan lain-lain.

Untuk maklumat lanjut dan sebarang persoalan atau pandangan, boleh layari laman web myonepas.com atau berhubung terus dengan PASpay melalui emel info@myonepas.com. – HARAKAHDAILY 28/10/2023

Ulasan