Rakyat Palestin di Lubnan sedia bertempur jika Hizbullah bantu



BEIRUT: Rakyat Palestin di Lubnan menyatakan kesediaan untuk turun ke medan perang menentang Israel pada bila-bila masa jika Hizbullah mengetuai gerakan itu, menurut pejuang dan penganalisis.

"Di mana sahaja Israel bersedia untuk bertempur, ia akan berlaku," kata Ahmed Habet, ahli parti Palestin Fatah di Burj al-Barajneh, sebuah kem pelarian di ibu negara Lubnan, Beirut.

"Darah saya untuk tanah air saya. Saya hidup untuk tanah air saya. Saya tidak hidup untuk masa depan," katanya.

Peperangan antara Israel dan Hizbullah, disokong rakyat Palestin adalah senario yang mungkin boleh mengheret Lubnan dan wilayah itu ke dalam konflik dahsyat.

Sejak Sabtu, lebih 700 rakyat Israel dan 500 rakyat Palestin terbunuh berikutan operasi mengejut Hamas dari Semenanjung Gaza, sebidang tanah yang ditadbirnya dan telah dikepung Israel selama 16 tahun.

Kumpulan hak asasi manusia menggambarkan Gaza - rumah kepada dua juta orang - sebagai "penjara terbuka terbesar di dunia."

Semalam, Israel mengumumkan sekatan menyeluruh ke atas wilayah itu, memotong bekalan air, makanan dan elektrik dalam tindakan hukuman kolektif yang, di bawah undang-undang antarabangsa, mewakili jenayah perang.

Tidak seperti pejuang di Gaza, cawangan rakyat Palestin di Lubnan seperti Hamas, Fatah dan Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin (PFLP) tidak dapat mengekalkan serangan terhadap Israel sendiri.

Hizbullah melancarkan serangan mortar dari Lubnan ke Ladang Shebaa yang diduduki pada Ahad. Israel bertindak balas dengan serangan artileri ketika ia terus memerangi pejuang Hamas di selatan Israel sambil mengebom Semenanjung Gaza.

Kedua-dua pihak mungkin tidak dapat mengelak, kata beberapa penganalisis.

"Konflik dalam skala itu akan menjadi lebih berkemungkinan jika Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dapat membentuk kerajaan perpaduan," kata Mohanad Hage Ali, seorang felo kanan Carnegie Middle East Center, sebuah badan pemikir yang berpangkalan di Beirut.

Hizbullah juga mungkin melancarkan serangan langsung jika Israel serius meningkatkan operasinya di Semenanjung Gaza, menurut Ahmed Abed, seorang pegawai untuk cawangan Hamas di Lubnan.

"Hizbullah memutuskan bahawa mereka akan terbabit jika tindakan balas terhadap Gaza adalah berlebihan. Mereka berkata mereka sedang berkoordinasi dengan kepimpinan Hamas di Palestin dan mereka akan campur tangan pada masa yang tepat jika perlu," katanya kepada Al Jazeera.

Netanyahu berikrar mengubah sebahagian Gaza menjadi runtuhan dan memberi amaran kepada penduduk di wilayah terkepung itu - hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak - untuk "keluar" sekarang.

Kumpulan hak asasi manusia dan pakar menyatakan orang awam di Gaza tidak mempunyai tempat untuk melarikan diri kerana sekatan.

Itu tidak menghalang Israel daripada meningkatkan pengeboman ke atas Gaza dan mengumpulkan 100,000 tentera untuk kemungkinan serangan darat.

Hizbullah mampu melancarkan serangan canggih jika mahu, menurut Nicholas Blanford, pakar Majlis Atlantik yang berpangkalan di Beirut. - AGENSI

Ulasan