Umat Islam wajib bangkit bersama-sama Palestin



KUMPULAN Islam Palestin melancarkan Operasi Taufan al-Aqsa yang mengejutkan Israel. Israel yang dikejutkan dengan operasi ini telah dibantu oleh negara Barat seperti Amerika Syarikat, Inggeris dan Perancis yang menggerakkan tentera mereka untuk menyelamatkan Israel.

Yang menarik, kumpulan Palestin berperang menentang Israel atas nama Islam dan adab-adab berperang Islam. Mereka menyerang sasaran tentera sahaja dan tidak menyerang orang awam.

Israel mengebom kawasan awam Gaza seperti masjid, hospital, sekolah dan lain-lain menyebabkan seluruh dunia berdemonstrasi menyatakan bantahan terhadap keganasan Israel.

Maka kita umat Islam wajib bangkit bersama-sama Palestin. Dengan kepercayaan bahawa Masjid al-Aqsa dan Palestin adalah milik umat Islam, seluruh dunia Islam akan bersama dengan Palestin.

Penting bagi umat Islam menunjukkan simpati kepada Palestin dan protes kepada Israel dan negara yang menyokongnya. Kita mesti mengerahkan semua pihak untuk menghukum kezaliman yang sedang berlaku yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

Setiap umat Islam mesti bersama Palestin sekurang-kurangnya berdoa, menyumbangkan harta serta jiwa raga demi bersama Palestin. Maka Malaysia mesti bersama dan bersatu dengan Palestin dalam menghadapi kezaliman Israel. Penyatuan ini mesti dibina supaya teguh dan kuat.

Saya mengucapkan syabas kepada semua yang hadir pada petang ini untuk menunjukkan simpati dan sokongan kita kepada Palestin. Mari kita bangkitkan kebesaran Allah yang mengatasi kebesaran segala-galanya.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar


ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Himpunan 10K Solidariti Palestin, 28 Oktober 2023 – HARAKAHDAILY 28/10/2023

Ulasan