Bersatu sebulat suara tolak hasrat Muhyiddin berundur


KUALA LUMPUR: Pimpinan Bersatu sebulat suara menolak hasrat Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan jawatan sebagai Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pemilihan parti itu tahun hadapan.

Setiausaha Agung Bersatu Dato’ Seri Hamzah Zainudin berkata mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tinggi (MPT) diadakan semalam bagi membincangkan perkara tersebut.

Menurut beliau, mesyuarat terbabit dipengerusikan Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

“Dalam mesyuarat tersebut kami membincangkan mengenai pengumuman Tan Sri Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden dalam pemilihan parti yang akan diadakan tahun hadapan,” katanya pada kenyataan malam tadi.

Tambah beliau, dalam mesyuarat tersebut sebulat suara membuat ketetapan untuk menolak cadangan tersebut kerana berpendirian kepimpinan Muhyiddin masih diperlukan dalam Bersatu.

“Ini merupakan pendirian kami semua kerana kepimpinan Tan Sri Muhyiddin adalah amat penting dalam Bersatu,

“Maka kami semua sebulat suara membuat ketetapan untuk menolak cadangan Tan Sri untuk berundur semalam,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/11/2023

Ulasan