Dakwaan PM: Takiyuddin perjelaskan fakta sebenar


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengemukakan beberapa fakta menjawab kenyataan Perdana Menteri terhadap Ahli Parlimen Kota Bharu di sidang Dewan Rakyat.

Ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri, semalam, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mempersoalkan tindakan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) semasa kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dibawa ke Mahkamah Persekutuan pada tahun lepas.

“Bila (kes Nik Elin) dibawa ke Mahkamah Persekutuan? 25 Mei tahun lalu. Siapa yang perintah 25 Mei tahun lalu? Siapa Perdana Menteri? Siapa Menteri Undang-undang?

“Sekarang ini semua dibebankan kepada kita. Doa berjela-jela. Hamun bukan main menakutkan orang. Doa kepada siapa? Tidak boleh doa kepada menteri masa itu? Fasal apa masa kamu menteri, kamu tak jalankan tugas? Itu 25 Mei.

“Kemudian Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran untuk memulakan prosiding. Bila? 30 September 2022. Siapa Menteri Undang-undang pada masa itu? Mana menteri-menteri pada masa itu?” kata Anwar.

Takiyuddin memperjelaskan bahawa pada tarikh semasa kes Nik Elin difailkan, beliau bukan lagi menteri undang-undang.

“Kes Nik Elin difailkan pada 25 Mei 2022, saya dah tak jadi menteri undang-undang pada masa itu.

“Kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan telah diberikan oleh Hakim (Datuk) Vernon Ong (Lam Kiat) pada 30 September 2022 difailkan oleh Nik Elin pada 7 Oktober 2022.

“Manakala, petisyen yang dimasukkan untuk memohon deklarasi oleh mahkamah telah dimasukkan pada 13 Oktober 2022 yang mana pada masa itu Parlimen ke-14 telah dibubarkan, tidak ada kerajaan. Itu saya memperbetulkan fakta,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2023

Ulasan