‘Ribuan alumni PASTI di saat kita dikecam hebat’


KANGAR: Di sebalik kejayaan pelajar mempersembahan persembahan hari ini, ia dimulai dengan kegigihan para guru dan ibu bapa yang turut sama gigih memberi sokongan dan dorongan.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, debaran guru menanti keputusan lebih hebat dari pelajar yang mengadakan persembahan.

“Para guru ada yang berusaha sejak awal tahun melatih anak-anak murid mereka.

“Seperti mana guru yang bersungguh-sungguh, para waris juga berusaha untuk turut hadir pada hari ini serta sanggup keluarkan belanja untuk melihat persembahan anak-anak.

“Begitulah kita perlu berusaha dengan bersungguh beramal untuk mempersembahan amalan di hadapan Allah kelak,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Alam Ria PASTI Malaysia 2023 di Dewan 2020, di sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada para waris yang tetap memilih institusi itu sungguhpun berhadapan dengan pelbagai tohmahan.

“Ribuan alumni PASTI bertaburan di seluruh Malaysia di saat kita dikecam hebat oleh mereka yang tidak menyukai PASTI.

“Waris tetap yakin menghantar anak-anak kerana kita tidak pernah mengajar politik kepada pelajar.

“Apa yang kita ajar ialah bagaimana mengenal Allah, menjadi orang yang berakhlak serta menjadi anak yang soleh,” katanya lagi.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri Perlis, Ustaz Azmir Azizan; Ketua Dewan Pemuda PAS negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beseri, Haziq Asyraf Dun serta Ketua Pengarah PASTI Malaysia, Damanhuri Dol.

Sebanyak 11 acara dipertandingkan iaitu hafazan, sajak dan bercerita masing-masing kategori lelaki dan perempuan manakala secara berkumpulan bagi pertandingan kalam jamaie dan nasyid.

Acara berseorang pula iaitu azan, khutbah dan pidato. – HARAKAHDAILY 25/11/2023

Ulasan