BAGAN SERAI: Setahun tampuk pemerintahan negara diterajui Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak memperlihatkan sebarang prestasi mahupun kejayaan dicapai oleh Kerajaan Madani.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria bahkan membidas laungan reformasi pernah digegarkan rupanya sekadar khayalan dan segala janji pula berkecai sebagai kepalsuan yang tidak tertunai.
Menurut beliau, keadaan lebih buruk menimpa rakyat apabila diheret ke kancah kemelut kehidupan di mana berdepan isu-isu ketidakcukupan bekalan keperluan harian dan kenaikan harga yang tidak berkesudahan.
Beliau merujuk kepada bekalan beras putih tempatan yang sukar didapati di pasaran mutakhir ini, sebaliknya rakyat seperti dipaksa dan dimanipulasikan untuk membeli beras import dengan harga di luar kemampuan.
Malah terdahulu, rakyat selaku pengguna berdepan kekurangan bekalan ayam mentah dan telur ayam di pasaran bagi keperluan makanan harian dan juga kegunaan perniagaan, selain harga berubah-ubah.
Kerajaan Madani yang turut dibarisi Menteri-menteri terkenal dengan formula dan kritikan keras ketika sebagai pembangkang dahulu, juga ditempelak Razman kerana gagal menangani situasi ekonomi negara ketika ini.
Bekas Pegawai Kastam berpengalaman ini menyifatkan penyusutan nilai Ringgit ke tahap paling teruk telah memburukkan lagi situasi ekonomi rakyat di mana menjadi penyebab utama peningkatan kos.
“Paling mengundang kebencian rakyat apabila segala rungutan yang dilemparkan sebagai kritikan kepada Kerajaan Madani khususnya kepada Perdana Menteri cuba dikekang atau disekat.
“Kebebasan bersuara dihadapkan dengan agensi penguat kuasa keselamatan secara menakut-nakutkan dan menekan, lebih-lebih lagi ke atas lawan politik.
“Lawan politik dikenakan siasatan atau dihadapkan saman. Sedangkan orang yang berada di pihak kerajaan dengan mempunyai pendakwaan ‘prima facie’ di mahkamah, kesnya boleh dibuang.
“Reformasi kehakiman, Parlimen dan pihak berkuasa, dilihat tidak terlaksana. Sebaliknya kebebasan bersuara semakin menjunam dan teruk,” ujar beliau yang juga ADUN Gunung Semanggol.
Razman turut bertanya bilakah Anwar akan menunaikan janji sering dilaungkan dahulu iaitu menurunkan harga petrol dalam tempoh 24 jam , sedangkan kini sudah setahun beliau memegang jawatan Perdana Menteri.
Beliau juga mempertikaikan kritikan pemimpin itu dahulu yang menyifatkan kejatuhan nilai Ringgit sebagai petunjuk Kerajaan tidak tahu mentadbir, tetapi kini keadaan sama sedang didepani kerajaannya. – HARAKAHDAILY 26/11/2023
Ulasan
Catat Ulasan