Banjir makin buruk: 3 helikopter bantu operasi menyelamat di Pantai Timur

Jalan Kota Bharu-Rantau Panjang berhampiran 'Culvert 5' di Pasir Mas ditutup kepada semua kenderaan berikutan limpahan air separas 0.78meter. Foto Bernama

Banjir makin buruk: 3 helikopter bantu operasi menyelamat di Pantai Timur
26 Disember 2023 07:21pmMasa membaca: 1 minit

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyediakan tiga helikopter untuk membantu operasi menyelamat mangsa banjir di Pantai Timur susulan keadaan banjir yang semakin buruk.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, sebuah helikopter telah tiba di Bachok, Kelantan pada tengah hari tadi, manakala dua lagi berada dalam keadaan mod bersedia dan akan dikerah ke Terengganu jika situasi memerlukan.

Beliau berkata, aset berkenaan akan digunakan untuk membantu operasi menyelamat mangsa banjir antaranya melibatkan situasi seperti membawa pesakit yang perlu mendapatkan rawatan di hospital dan menghantar bekalan makanan.

"Buat masa ini, JBPM beri fokus ke Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) kerana terdapat operasi-operasi pemindahan mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS). Keanggotaan tidak bertambah tetapi aset tambahan lain seperti bot telah dihantar ke sana.

"Hari ini, JBPM kerahkan pesawat udara ke Kelantan bagi operasi menyelamat dan menghantar makanan serta tinjauan udara dapat dilaksanakan,” katanya selepas menghadiri Majlis Penghargaan Wira Merah Bomba di sini pada Selasa.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan paras air naik lebih tinggi dibandingkan situasi banjir pada 2014, Abdul Wahab berkata, JBPM di peringkat negeri telah bersedia daripada pelbagai aspek dan menumpukan segala asetnya bagi operasi pemindahan mangsa.

"Kami juga menasihati masyarakat setempat agar segera berpindah dan kebanyakan mereka telah berpindah dengan sukarela, selain pemindahan yang diatur gerak oleh agensi-agensi penguat kuasa.

"Selain itu, kami telah menyediakan aset-aset di pangkalan hadapan di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai untuk bantu operasi di Pantai Timur,” katanya.


Beliau berkata, respons mangsa bagi situasi banjir kali ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya kerana mereka berpindah lebih awal dan JPBM telah menggerakkan 10 lori ke Kelantan dan Terengganu dari Kuala Lumpur dan Selangor bagi tujuan itu.

"Jadi, jumlah mangsa terperangkap adalah lebih rendah. Tapi trend yang naik (paras air) ketika ini, misalnya di Pasir Mas, Kelantan, terdapat juga proses pemindahan mangsa yang tinggal di bahagian atas kediaman,” katanya.

Abdul Wahab menasihatkan kepada orang ramai agar berpindah ke PPS memandangkan terdapat sebahagian tempat yang telah dipotong bekalan elektrik dan ini akan menyukarkan bomba mendapat respons daripada penduduk.

Terdahulu, majlis berkenaan meraikan jasa dan pengorbanan pegawai dan anggota bomba yang terlibat dalam Operasi Mencari dan Menyelamat Father’s Organic Farm di Batang Kali, Selangor, Disember tahun lepas.bomba, banjir,

Ulasan