Banjir tidak halang rakyat Kelantan penuhi stadium





Banjir tidak halang rakyat Kelantan penuhi stadium
December 28, 2023


KOTA BHARU: Banjir dan musim tengkujuh tidak menghalang ribuan rakyat Kelantan membanjiri Stadium Sultan Muhammad Ke-lV untuk mengikuti program Bicara Da’i Nusantara yang diadakan malam ini.

Cuaca yang agak baik sejak petang memberi ruang orang ramai mengikuti program yang menampilkan dua pendakwah ternama Ustaz Azhar Idrus dan Prof Dr Ustaz Abdul Samad.

Orang ramai mula memasuki stadium sekitar jam 5.30 petang untuk mengikuti mesej dakwah yang akan disampaikan pimpinan kerajaan negeri dan pendakwah terbabit.

Bagaimanapun, hujan turun seketika pada jam 6.30 petang, namun ia tidak mematahkan semangat ralyat Kelantan kekal berada di padang stadium.

Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Uataz Mohd Nasruddin Daud akan menyampaikan ucapan bersama bekas Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakub dan Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Program pertama dimulakan petang tadi dengan Bicara Santai Anak Muda yang disampaikan Pegawai Agama Jajahan Bachok, Ustaz Suratemi Mat Yusoff, manakala moderatornya, Ustaz Mohd Firdaus Nawi.

Suratemi ketika menyampaikan ucapannya, menyaran anak-anak muda supaya menerbitkan konten di media sosial dengan unsur berfaedah agar ia dapat dikongsi oleh masyarakat.

Menurutnya, zaman sekarang masyarakat tidak boleh lari daripada media sosial kerana pelbagai maklumat dapat diperolehi.

“Kerana itu, anak muda perlu mengambil peluang berkenaan sebaik mungkin untuk menonjolkan konten menarik dan bermanfaat agar ia dapat dikongsi masyarakat.

“Contohnya sekarang musim banjir, boleh mendedahkan seuasana banjir di tempat kita untuk didedahkan kepada orang ramai tentang suasana semasa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/12/2023

share & sebarkan:

Ulasan