Tanggungjawab Pusat bersikap sama rata semua negeri
December 31, 2023
KOTA BHARU: Kelulusan peruntukan untuk pembinaan benteng serta penyaluran wang ihsan berjumlah RM177.96 juta kepada Kelantan sememangnya menjadi tanggungjawab kerajaan Persekutuan.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, menjadi tanggungjawab mana-mana pimpinan kerajaan Persekutuan membantu dan bersikap sama rata kepada kesemua negeri.
“Apa pun kita rasa bersyukur kerana perdana menteri datang ke Kelantan pada Khamis dan pada Jumaat wang itu sudah pun masuk dalam Perbendaharaan Negeri. Jadi kita mengucapkan terima kasih bagi pihak kerajaan negeri dan pimpinan PAS kepada perdana menteri.
“Itu adalah tugas yang perlu dilaksanakan dan sesiapa pun yang menjadi kerajaan atas dasar ‘faderalisme’ kita kena pastikan sumbangan sama rata kesemua negeri diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran dana bencana Khidmat Malaysia yang disempurnakan Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Usraz Mohd Nassuruddin Daud petang semalam.
Beliau juga berkata, menjadi harapan besar buat Kelantan turutama selepas berlaku bencana besar supaya projek benteng dapat dilaksanakan seperti yang disebut kerajaan bagi fasa kedua bermula Januari 2024.
“Ia untuk mengelak daripada bencana sama berlaku pada masa akan datang, malah apa yang terjadi ketika ini menjadi kayu ukur bagi jabatan-jabatan pelaksana seperti Jabatan Perairan dan Saliran (JPS) untuk menyegerakan projek-projek berkenaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan segera bagi membina benteng sementara Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok di Rantau Panjang bernilai RM6 juta.
Selain itu proses perolehan lima projek baharu tebatan banjir bernilai RM910.52 juta yang akan dimulakan tahun hadapan. – HARAKAHDAILY 31/12/2023
Ulasan
Catat Ulasan