"Bahasa Melayu boleh bernilai ekonomi jika ditegaskan"


"Bahasa Melayu boleh bernilai ekonomi jika ditegaskan"
Oleh Ercy Gracella Ajos - Januari 29, 2024 @ 2:15pm
Apabila bahasa Melayu diutamakan dengan sendirinya, semua pihak akan terpaksa menghormatinya dan mempelajarinya. Gambar arkib NSTP

KUALA LUMPUR: "Bukan tidak faham mengenai kedudukan bahasa kebangsaan, tetapi berpura-pura tidak faham dan golongan seperti ini biasanya tinggal di kawasan elit dan bandar besar.

"Ini bukan sesuatu yang pelik sebab memang wujud orang seperti ini," katanya Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani ketika ditanya mengenai tindakan beberapa pihak yang menggesa garis panduan sedia ada bagi pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) dikekalkan tanpa syarat tambahan, kononnya didakwa boleh menjejaskan keberkesanannya.

Malah mereka turut memohon supaya kelas DLP ditambah selain menggesa pengetua diberi autonomi untuk melaksanakan program itu mengikut pilihan ibu bapa sebagaimana termaktub dalam Akta Pendidikan 1996.

Menggelarkan kelompok itu sebagai 'ultra-anglophile', Kamal Shukri berkata, golongan berkenaan umumnya 'badan mereka merdeka', tetapi jiwa dan pemikiran masih terjajah seolah-olah bahasa Inggeris adalah yang agung.

DISYORKAN UNTUK ANDA









"Golongan ini bukan tidak memahami isu tapi kita yakin mereka sengaja tidak mahu memahami isu sebab bagi mereka bahasa Inggeris adalah segalanya," katanya.

Tambah Kamal Syukri, sebenarnya di Malaysia ramai orang termasuk bukan Melayu yang menyedari kepentingan bahasa kebangsaan dan berbangga dengannya seiring dengan tindakan menjulang bahasa ibunda masing-masing.

Bagaimanapun katanya, kumpulan yang mengagungkan bahasa Inggeris ini berada di mana-mana. Hal ini memperlihatkan betapa berjayanya penjajah menanam pemikiran mengagungkan budaya dan bahasa mereka.

"Dalam hal ini pemikir ulung Islam, Malek Bennabi pernah berkata, minda yang tertawan dengan penjajah dari segi bahasa, budaya dan sebagainya boleh kekal sehingga dua tiga generasi baru dapat dikikis.

"Setiap orang perlu ingat, mempelajari bahasa lain tidak ada salahnya namun yang menjadi masalah apabila sikap individu yang terlalu mengagungkan bahasa lain dan memandang rendah bahasa kebangsaan negara sendiri," katanya.

Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Majlis Perundingan Melayu (MPM), Kamal Shukri Abdullah Sani. Gambar arkib NSTP

Jelasnya, tidak kira orang Melayu, Cina atau India, kalau seseorang itu warganegara Malaysia, dia perlu menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa negara. Justeru, kesedaran sejak di bangku sekolah sehingga ke peringkat universiti amat penting dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

"Kerajaan dan badan bukan kerajaan perlu ambil peranan melalui pendidikan awal untuk memberi penekanan terhadap bahasa Melayu kepada generasi muda.

"Jika kita mengagungkan bahasa Inggeris, mengapa masih banyak pengemis dan penganggur di kota raya London? Sepatutnya kalau bahasa asing ini terlalu bagus, masyarakat di negara itu semuanya doktor, jurutera dan saintis.

"Jangan kita terlalu mabuk dengan bahasa Inggeris sehingga melupakan bahasa negara sendiri," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad menyifatkan tuntutan terbaharu mengenai DLP menjelaskan kelompok itu memahami isu dengan jelas namun mahu mengubah pendirian dan hasrat pembentukan negara bangsa yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta Dasar Pendidikan Kebangsaan.

"Mereka cuba menyalahkan pihak yang mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan nasionalis kebangsaan dengan memberikan label ultranasionalis.

"Itu label yang negatif kerana maksudnya seolah-olah pihak yang memperjuangkan kedaulatan bahasa Melayu sebagai melampau," katanya

Justeru katanya pemesongan perspektif sebegitu akan menyebabkan masAyarakat menanggapi nasionalis sebagai golongan yang bersalah.

Hakikatnya kata Mohamad Saleeh, nasionalis mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan itu sebenarnya juga mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Dr Mohamad Saleeh Rahamad. Gambar NSTP

Beliau berkata pejuang bahasa Melayu sebenarnya tidak memusuhi bahasa Inggeris atau bahasa-bahasa antarabangsa yang lain.

"Bahasa Inggeris, terutamanya, tetap dianggap penting dan perlu dikuasai oleh seluruh pelajar bagi memastikan generasi yang akan mendukung kuasa politik dan pentadbiran negara dapat berperanan dengan baik, terutama untuk memajukan negara.

"Yang menjadi persoalannya ialah ketidakwajaran ilmu yang penting, Sains dan Matematik dan bidang-bidang yang berkait dengannya, diajarkan dalam bahasa Inggeris.

"Kita boleh bertanya "adakah sekolah vernakular menerima DLP atau mereka bertegas menggunakan bahasa ibunda mereka?

"Pihak berkenaan tahu akan kuasa yang ada dalam bahasa. Hilang bahasa bermakna hilanglah identiti dan legasi bangsa. Adakah pemimpin Melayu seluruhnya sedar akan perkara ini?," soalnya.

Selain bertujuan mempertahankan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Akta Pendidikan Kebangsaan, katanya penegasan akan pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar ilmu adalah untuk memudahkan penyampaian ilmu; memberikan nilai kepada bahasa Melayu; dan mewujudkan rasa kesepunyaan dalam masyarakat negara ini.

"Bahasa ialah teras bangsa dan perlu dimartabatkan sebagai teras pembentukan negara bangsa," katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, sama ada bernilai ekonomi atau tidak bahasa Melayu ini, semuanya bergantung pada iltizam politik pemimpin negara.

"Bahasa Melayu boleh sahaja menjadi bernilai ekonomi jika penggunaannya ditegaskan dalam semua sektor.

"Apabila bahasa Melayu diutamakan dengan sendirinya, semua pihak akan terpaksa menghormatinya dan mempelajarinya. Tetapi sebaliknya yang berlaku ialah bahasa Melayu diperleceh dan dipinggirkan oleh pihak-pihak yang memegang punca kuasa, lalu akibatnya bahasa Melayu terus dipandang rendah dan hilang nilai ekonominya," katanya.

"Pertama, saya tegaskan bahawa kita tidak menolak bahasa Inggeris sebagai penting; maka oleh itu, berikan keutamaan dalam pengajarannya supaya semua pelajar dapat menguasainya dengan baik.

"Yang kita tolak ialah pengajaran ilmu dalam bahasa Inggeris," katanya.

Mengambil contoh di Eropah, misalnya di Jerman dan Slovakia katanya pengajaran di universiti di negara terbabit tetap menggunakan bahasa mereka sendiri tetapi dalam masa yang sama bahasa Inggeris diajarkan juga dengan betul.

"Ini belum lagi negara di Asia yang maju. Jadi, bagi golongan yang menyifatkan bahasa Inggeris sebagai terlalu tinggi martabatnya, mereka barangkali tidak dapat melihat implikasi daripada peminggiran bahasa Melayu.

"Harus diingat bahawa peminggiran bahasa Melayu akan menyebabkan maruah bangsa yang menjadi pemegang taruh pada kewujudan negara ini tergelincir ke lembah kehinaan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Saleeh berkata, situasi politik di negara ini adalah unik kerana wujudnya persaingan yang sangat sengit antara kaum dan etnik dalam segenap sudut. Justeru, jika bahasa Melayu terus dibiarkan luntur nilainya, nescaya suatu hari nanti bangsa Melayu pun akan menadah tangan di tepi medan persaingan.

"Penjajahan minda memang sudah lama berlaku kerana pemegang kuasa politik sendiri pun gagal memahami keberadaan maruah bangsa pada bahasa.

"Akibatnya, yang tidak berpendidikan Inggeris pun sudah terseret sama dalam kelompok yang mengagungkan bahasa Inggeris kerana kononnya maruah dan martabat mereka akan meningkat jika menggunakan bahasa itu.

"Inilah hegemoni yang perlahan-lahan mengubah persepsi masyarakat, yakni mereka merelakan minda mereka ditawan," katanya.

Ulasan