BERSATU pinda perlembagaan, wakil rakyat khianat hilang kerusi - Hamzah



BERSATU pinda perlembagaan, wakil rakyat khianat hilang kerusi - Hamzah
Oleh Fahmy A Rosli - Januari 29, 2024 @ 1:58pm
Mesyuarat Khas BERSATU yang dipengerusikan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, malam tadi

KUALA LUMPUR: BERSATU akan meminda perlembagaan parti bagi mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyatnya yang mengkhianati parti.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas parti itu yang berlangsung di ibu pejabatnya malam tadi.

Untuk itu, beliau berkata, mesyuarat malam tadi bersetuju meminda Perlembagaan BERSATU bagi menghalang tindakan khianat dalam kalangan wakil rakyatnya daripada berulang lagi pada masa depan.

Selepas ini, katanya berkata, wakil rakyat BERSATU yang didapati khianat boleh kehilangan kerusi.
DISYORKAN UNTUK ANDA










"Mesyuarat juga bersetuju mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan BERSATU bersedia untuk berdepan PRK.

"Selaras dengan ketegasan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan BERSATU bagi menghalang insiden sama daripada berulang pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini, enam Ahli Parlimen BERSATU menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang).

Turut berbuat demikian ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Hamzah berkata banyak isu dibincangkan terutama berkait situasi terkini ekonomi negara yang didakwanya suram.

Tambah beliau, isu lain yang turut diberi perhatian adalah berkisar beban sara hidup rakyat yang mendesak, masalah harga barang melambung tinggi dan nilai ringgit merudum.

MPT sokong kepimpinan Muhyiddin

Dalam menyusun langkah konkrit ke hadapan, Hamzah berkata MPT sebulat suara menyokong perjuangan kepimpinan Muhyiddin selaku Presiden BERSATU.

"Bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, tetapi untuk tampil lebih kredibel, tegas dan berani dalam melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim," ujarnya.

3 ahli MPT baharu

Serentak itu, Hamzah mengumumkan beberapa langkah bagi membugarkan BERSATU antaranya dengan melantik tiga ahli MPT baharu.

Mereka adalah Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan Penolong Setiausaha Srikandi, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Mesyuarat semalam turut bersetuju merombak kepimpinan BERSATU di peringkat negeri dengan menggugurkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Datuk Abdul Rashid Asari sebagai peneraju kepimpinan parti masing-masing di Negeri Sembilan dan Selangor.

"Perubahan kepimpinan BERSATU di peringkat negeri juga turut dilaksanakan di mana Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor baharu manakala Mohamad Hanifah Abu Bakar pula dilantik sebagai Ketua Badan Pimpinan BERSATU Negeri Sembilan baharu.

"Parti mengucapkan terima kasih atas khidmat bakti Ahmad Faizal dan Abdul Rashid yang memimpin kedua-dua negeri tersebut sebelum ini," kata Hamzah.

Dalam pada itu, Hamzah memaklumkan beberapa lantikan pengerusi biro baharu juga dilakukan.

Beliau mengumumkan Pengerusi Biro Ekonomi disandang oleh Datuk Dr Radzi Jidin manakala Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilantik menerajui Biro Antarabangsa BERSATU.

"Datuk Azman Nasrudin dilantik sebagai Pengerusi Biro Pendidikan, Datuk Wan Saifulruddin Wan Jan pula sebagai Pengerusi Biro Latihan serta Fadzillah Mohd Pilus dilantik Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu," katanya.

Ulasan