Daim akan didakwa di Mahkamah Sesyen KL esok
Oleh BERNAMA - Januari 28, 2024 @ 6:34pm
KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 9, di sini esok, berhubung gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta.
Menerusi semakan sistem mahkamah, kes Daim akan disebut di hadapan Hakim Azura Alwi pada jam 9 pagi.
Semalam, Daim dalam kenyataannya berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil rakaman percakapannya dan memaklumkan bahawa beliau akan didakwa pada Isnin (29 Januari) atas kesalahan mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang juga kesalahan berkaitan dengan pendedahan aset.
Pada Rabu, SPRM mengesahkan sudah mendapat kebenaran untuk mendakwa Daim, 85, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin di mahkamah namun ia terpaksa ditangguhkan atas masalah kesihatan bekas Menteri Kewangan itu.
ADVERTISING
DISYORKAN UNTUK ANDA
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, agensi antirasuah itu mendapat lampu hijau daripada Jabatan Peguam Negara sejak minggu lepas, namun tidak dapat berbuat demikian kerana Daim dimasukkan ke sebuah hospital swasta.
Beliau berkata semakan mendapati Daim, yang menjawat jawatan Menteri Kewangan dari 1984 hingga 1991, telah dimasukkan ke hospital lebih awal sebelum pihaknya mendapat kelulusan untuk mendakwa namun mereka tidak dimaklumkan mengenai sebab bekas menteri kanan itu menerima rawatan di hospital.
Pada 23 Januari lalu, isteri Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid, 66, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen sama atas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Sebelum ini, Nai'mah dan dua anak lelakinya hadir ke ibu pejabat SPRM untuk memberi keterangan serta membantu siasatan agensi antirasuah itu terhadap Daim yang juga seorang ahli perniagaan.
SPRM turut menjelaskan bahawa siasatan ke atas Daim adalah berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Kertas Pandora iaitu pendedahan berkaitan dokumen sulit golongan kaya dan berpengaruh dunia yang menyembunyikan kekayaan dengan menggunakan perkhidmatan luar pesisir atau syarikat berpangkalan di luar negara. – BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan