MPT setia belakang Muhyiddin, konspirasi pecah belah BERSATU gagal - Azmin
Oleh Wartawan BH - Januari 30, 2024 @ 12:18am
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - NSTP
KUALA LUMPUR: Konspirasi untuk memecah-belah keutuhan BERSATU didakwa gagal selepas semua kepemimpinan parti menyatakan sokongan untuk berdiri teguh di belakang Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden.
Perkara itu dimaklumkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, melalui satu muat naik di Facebook malam ini.
"Usaha musuh yang berkonspirasi untuk memecah keutuhan BERSATU telah gagal dan berkecai. Kami tetap BERSATU.
"MPT bersidang malam tadi dan mengulangi ikrar dan tekad kami untuk meneruskan perjuangan yang keramat ini demi umat dan negara.
DISYORKAN UNTUK ANDA
"MPT sebulat suara mendukung dan mempertahankan kepemimpinan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN)," katanya.
Sebelum ini, BERSATU digambarkan seolah-olah retak dengan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memaklumkan 10 lagi rakan Ahli Parlimen dari parti itu dijangka memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang pembukaan sidang Parlimen, 26 Februari ini.
Setakat ini, enam Ahli Parlimen BERSATU sudah menyatakan sokongan kepada Anwar. Selain Syed Abu Hussin, lima lagi adalah Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
Syed Abu Husin juga mendakwa BERSATU kini mempunyai dua kem dengan sebahagian besar Ahli Parlimen parti itu mahu Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin diangkat sebagai teraju menggantikan Muhyiddin.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang melalui muat naik sama menegaskan BERSATU dan PN diasak musuh kerana ia adalah ancaman utama kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO yang rapuh serta menanti saat untuk rebah.
"Kami akan meneruskan agenda prihatin rakyat, kami mengangkat suara rakyat yang dibungkam oleh sang penguasa yang zalim.
"BERSATU akan terus membicara soal kos sara hidup dan inflasi, kami membawa penyelesaian untuk menangani masalah harga barang yang terlalu mahal, ketiadaan bekalan beras tempatan, kadar tarif elektrik dan air yang melambung.
"Kami (juga) akan berjuang bersama anggota perkhidmatan awam yang sedang diinjak oleh satu kumpulan pelampau dan BERSATU merasai segala denyutan nadi rakyat. Kami pantas turun ke lapangan, bergerak sederap, bahu membahu demi rakyat dan negara," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan