Suntik vaksin COVID-19 manusia akan jadi ‘transhuman’?
January 22, 2024
KUALA LUMPUR: Vaksin COVID-19 didakwa akan menyebabkan perubahan genetik atau ‘transhuman’ adalah fiksyen dan khayalan para saintis serta tidak berasaskan bukti saintifik, demikian menurut pakar perubatan, Dr Suhazeli Abdullah.
Dr Chinda Brandolino dari Argentina yang membuat dakwaan kononnya suntikan vaksin COVID-19 akan menyebabkan manusia bertukar menjadi ‘transhuman’ iaitu makhluk dengan kemampuan melebihi manusia biasa.
Tetapi memiliki kecerdasan, kesedaran, kekuatan atau ketahanan lebih tinggi di mana tegas Dr Suhazeli, ianya adalah dakwaan palsu dan tidak benar, apatah lagi Dr Chinda terkenal dengan pandangan-pandangan yang menentang vaksin.
“Kalaulah cucuk vaksin COVID-19 itu menyebabkan manusia bertukar jadi ‘transhuman’ bagus jugakan? Contoh cerita ‘transhuman’ adalah filem The Matrix. Setakat ini tiada lagi manusia yang sehebat cerita-cerita Transhuman itu.
“Kalau ada, memang bertuahlah kita semua yang telah divaksinkan ini. Andai kata ‘transhuman’ itu berubah jadi zombi pun, masih tidak berlaku! Hanya khayalan sahaja. Jadi, memang mengarut dan tidak berpijak di bumi nyata jika dengan cucuk vaksin COVID-19, kita semua akan jadi Transhuman.
“Namun ada juga yang percaya kepada sebaran video itu,” ujarnya mendedahkan bahawa Dr Chinda sering menyebarkan maklumat salah mengenai COVID-19 dan isu-isu kesihatan lain.
Menurut beliau lagi, Dr Chinda juga merupakan seorang aktivis penganut teori konspirasi yang berkaitan dengan ‘New World Order’ dan ‘gender ideology’ menerusi ceramah dan buku berkaitan topik-topik yang beliau percayai.
Malangnya kata Dr Suhazeli, semua dakwaan tersebut tidak disokong oleh bukti saintifik atau diterima oleh komuniti perubatan dan dakwaan bahawa vaksin akan menyebabkan perubahan genetik juga adalah tidak benar.
“Vaksin yang menggunakan teknologi mRNA, seperti Pfizer, tidak dapat bersatu dengan DNA manusia atau mengubah kandungan genetiknya. Vaksin hanya berfungsi untuk menghasilkan protein yang dapat merangsang sistem imun untuk melawan virus.
“Dakwaan bahawa vaksin mengandungi bahan logam yang dapat menarik magnet juga adalah palsu dan tidak logik. Lain kali jangan percaya dan sebar maklumat yang karut marut kerana akan menyebabkan masyarakat makin keliru,” nasihat beliau. – HARAKAHDAILY 22/1/2024
Ulasan
Catat Ulasan