Ubah skim pencen perlu dialog awam, pembabitan luas rakyat


Ubah skim pencen perlu dialog awam, pembabitan luas rakyat
Oleh Mujibu Abd Muis - Januari 29, 2024 @ 9:47am
Polemik pemansuhan skim berpencen bagi penjawat awam berstatus tetap lantikan baharu dan perubahannya kepada caruman nampaknya mendapat pelbagai pandangan termasuk kritikan. Walaupun mungkin pada tahap cadangan dan bersifat interim, reaksi keras umum terhadapnya jelas memerlukan perhatian lanjut.

Keputusan itu bukan sahaja ditolak CUEPACS sebagai pemegang taruh paling terkesan dengan perkara itu, ia turut mendapat reaksi daripada Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon.

Kedua-dua tokoh muda dan berani itu bersependapat isu pemansuhan pencen sepatutnya dimulakan dengan memansuhkan skim pencen wakil rakyat terlebih dahulu, atas prinsip kepemimpinan melalui teladan dan sama rasa, sama rata, tanpa ada perbezaan darjat.

Diperhatikan, terdapat dua perkara yang sangat mengujakan dengan kenyataan kedua-dua tokoh ini.
DISYORKAN UNTUK ANDA










Pertama, penekanan prinsip kepemimpinan melalui teladan itu sendiri yang semakin menipis dalam kalangan pemimpin, manakala kedua, keperluan untuk setiap cadangan diteliti dan dipersetujui semua pihak, termasuk mengadakan pembabitan awam, terutama rakyat itu sendiri (baca: merakyatkan dasar).

Walaupun dalam amalan demokrasi, mengubah dan mengukuhkan institusi politik lazimnya membabitkan proses dikawal selia oleh Perlembagaan dan undang-undang negara, kepentingan untuk mendapatkan pandangan umum menerusi pembabitan awam aktif sangat digalakkan.

Ia penting kerana setiap usaha melakukan perubahan atau mengukuhkan institusi politik perlu dilaksanakan berdasarkan prinsip demokrasi, keadilan dan permuafakatan, selain mematuhi peraturan serta prosedur ditetapkan undang-undang dan Perlembagaan negara.

Namun, pendekatan tradisional dalam pembuatan dasar bersifat atas ke bawah sering bersifat elitis yang kaku, tegar dan lambat bertindak balas.

Pemusatan kuasa disebabkan perundangan dan prosedur ditetapkan jelas membataskan usaha untuk merakyatkan dasar awam sejak awal.

Justeru, pertimbangan untuk pendekatan dasar proaktif bagi mendapatkan tindak balas pantas dan berkesan, keputusan serta pelaksanaan dasar awam memerlukan pendekatan lebih bersifat dari bawah ke atas yang lebih tangkas menerusi kaedah merak- yatkan dasar dengan memanfaatkan data serta maklumat di lapangan dan bercitra tempatan.

Secara mudah, pendekatan dasar secara tradisional sangat bergantung kepada data berskala luas, tetapi pendekatan berpusatkan rakyat akan mengukuhkan dasar dengan bukti di lapangan lebih kepada 'penyelesaian tempatan'.

Namun, paradoks antara asas normatif dalam pengurusan awam dalam kerangka demokrasi sering menyukarkan hal itu.

Fungsi birokratik menjadikan pelaksanaan dasar lebih bersifat mekanikal kepada prosedur dan peraturan berbanding meletakkan nilai awam sebagai teras kepada mana-mana dasar awam selaras dengan kehendak demokrasi sebenar.

Persoalan ini mungkin masih jauh dan terlalu teknikal untuk dilanjutkan. Namun, apa yang berlaku dalam permasalahan pemansuhan pencen ini jelas memerlukan mekanisme pembuatan dasar menyeluruh dengan membabitkan semua pihak berkepentingan.

Tingkat pembabitan rakyat

Maka, tiba masa untuk merakyatkan dasar kerajaan dengan meningkatkan pembabitan awam aktif dan kerap setiap kali sesuatu keputusan hendak ditentukan.

Tindakan ini bukan sahaja membawa pembaharuan dalam institusi politik. Malah, antara cara untuk mengukuhkan sistem membabitkan peningkatan kecekapan dan integriti dalam pelaksanaan tugas serta fungsi pelbagai agensi kerajaan.

Secara umumnya, merakyatkan dasar adalah satu proses membabitkan penyertaan aktif rakyat dalam proses membuat keputusan dan pelaksanaan prinsip negara.

Ini membawa kepada peningkatan pembabitan awam, akauntabiliti, dan responsif terhadap keperluan dan keinginan rakyat.

Justeru, beberapa langkah dan kaedah berikut mungkin boleh diambil untuk merakyatkan dasar kerajaan sebagai cadangan permulaan.

Pertama, perundingan inklusif dan dialog awam kerap serta meluas. Penting untuk membabitkan perundingan dengan pelbagai pihak, termasuk ahli akademik, pakar undang-undang, aktivis masyarakat dan rakyat amnya.

Bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas pelbagai lapisan masyarakat, rundingan awam membabitkan rakyat perlu diadakan secara berkala.

Sesi dialog, forum dan ulasan awam boleh digunakan untuk menyiasat pendapat serta keperluan sebenar orang ramai. Dialog awam inklusif juga boleh membantu mendapatkan pandangan lebih luas dan mendapat sokongan orang ramai.

Kedua, menggalakkan pembabitan rakyat dalam pembuatan keputusan. Rakyat harus diberi peluang untuk terbabit secara langsung atau tidak langsung dalam membuat keputusan kerajaan.

Ini mungkin membabitkan penubuhan mekanisme seperti jawatankuasa awam atau forum penyertaan disertai wakil pelbagai segmen masyarakat dan kumpulan berkepentingan.

Ketiga, pemerkasaan pembabitan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil. Kedua-dua golongan ini berperanan penting dalam memantau dan memberikan pandangan bebas terhadap asas kerajaan berdasarkan kepakaran masing-masing.

Kerjasama dengan mereka dapat mengukuhkan proses demokrasi dan meningkatkan kualiti dasar kerajaan bakal dilaksanakan.

Terakhir, advokasi dan kecaknaan politik rakyat. Program pendidikan dan kesedaran politik perlu diadakan bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap proses dan pentadbiran politik.

Hanya warga berpengetahuan boleh membuat keputusan lebih baik dan mengambil bahagian lebih berkesan dalam proses politik sesebuah negara.

Hakikatnya, proses merakyatkan dasar awam bukanlah bersifat sekali sahaja (one-time task), tetapi adalah usaha berterusan. Proses merakyatkan dasar awam bertujuan mencari potensi low-hanging fruits dalam mencari hasil diingini semua tanpa berasa tersisih.

Hal ini hanya dapat dicapai sekiranya kerajaan telus dan komited dengan memberikan fokus sebenar dalam melaksanakan dasar awam untuk memenuhi tanggungjawabnya untuk berkhidmat dan memperkasakan rakyat.

Dengan kata lain, rakyat perlu berada di barisan hadapan dalam setiap tindakan diambil kerajaan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP), Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Ulasan