Dasar, strategi kerajaan paksi hapuskan kartel dalam pasaran
Oleh Prof Datin Dr Fatimah Mohamed Arshad - Februari 6, 2024 @ 10:27am
RAMAI gusar dan sugul mengenai kartel, tetapi tidak mendalami mengapa serta bagaimana ia boleh berlaku. Juga apa dan siapakah dalang sebenarnya mencetuskan amalan kartel ini? Begitu juga mengapa ia kerap kali muncul dengan selok-belok atau tipu helah sama, tetapi masih tak terbendung oleh polis mahupun kerajaan?
Peniaga berkartel ini terus meraih untung besar tanpa tindakan undang-undang ke atas mereka dan apa yang mengecewakan, tiada reformasi struktur dilaksanakan, iaitu penyelesaian asas kepada masalah ini.
Hanya dengan menjawab soalan ini kita mampu memahami dan meleraikan krisis berkenaan dengan rasional matang dan bererti.
Kartel ialah pakatan antara peniaga (termasuk pembekal) untuk meningkatkan keuntungan kolektif dengan cara menetapkan paras harga, mengehadkan bekalan, penipuan bida serta persetujuan khusus peruntukan pasaran dan pelanggan.
DISYORKAN UNTUK ANDA
Kartel dipacu beberapa faktor.
Pertama, wujud jurang harga besar sama ada antara masa atau lokasi. Perubahan harga mungkin disebabkan ketidakimbangan penawaran dan permintaan serta faktor teknikal lain.
Dalam krisis beras pada 2023, peluang wujud apabila ada jeda harga besar antara beras tempatan dengan import. Harga beras tempatan ditetapkan pada paras RM2.60 per kilogram berbanding harga import RM3.60, iaitu perbezaan 30 peratus. Jika penjual menipu dengan menjual beras tempatan sebagai beras import, ia akan mendapat keuntungan RM277 bagi setiap tan.
Pada suatu ketika, peniaga bersekongkol untuk mengehadkan bekalan beras tempatan di pasaran sehingga rak di pasar raya kosong. Ketika insiden ini berlaku, tiada satu pun kementerian tampil untuk bertindak pantas kecuali pada hari kemudian. Insiden ini menunjukkan kemampuan dan kekuatan peniaga mempengaruhi pasaran tanpa digugat tindakan kerajaan.
Begitu juga peniaga bersekongkol mencampurkan beras tempatan dengan import dan dijual pada harga import. Amalan ini bertapak lama kerana polisi menetapkan harga beras tempatan dan harga beras import diapungkan. Maka, wujud perbezaan harga mendorong kegiatan kartel.
Begitu juga sebilangan kecil pengimport daging halal bersekongkol melaksanakan kartel untuk meningkatkan harga jualan. Selain kartel, lesen halal menjadi komoditi untuk dijual beli antara peniaga.
Kedua, wujud ruang dan peluang untuk peniaga melaksanakan kartel. Seperti disebutkan, kegiatan kartel masih berleluasa kerana pengawasan daripada pihak berkuasa tidak begitu ketat dan tentangan daripada pengguna lemah.
Ketiga, peluang pula didorong kekukuhan kuasa pasaran peniaga. Kuasa pasaran diukur sebagai peratus syer peniaga dalam pasaran.
Dalam pasaran yang jika empat peniaga terbesar memiliki lebih 60 peratus syer, pasaran dirumuskan sebagai CR4 adalah 60 peratus (CR ialah nisbah pemusatan).
Antitrust Law di Amerika Syarikat (AS) mengguna indeks ini untuk menentukan kuasa atau agihan kuasa pemain pasaran selain Hershman-Herfindhal Index. Apabila C4 adalah 60 peratus, peniaga ini boleh dengan sewenang-wenang bersekongkol untuk meletak harga tinggi, semata-mata kerana berkuasa.
Kita perlu bertanya pula mengapa pemusatan berlaku, iaitu kenapa terdapat pemain kecil bilangannya? Ini kerana sesetengah perniagaan seperti mengeksport dan memborong membabitkan modal besar, jaringan luas dan keberanian menanggung risiko dan pelesenan.
Maka, tidak menghairankan dalam sesetengah subsektor bilangannya terbatas. Namun, ini tidak bererti mereka ada hak bersekongkol untuk meraih keuntungan besar.
Kartel beri kesan negatif
Keempat, kuasa kolektif pengguna mahupun pengeluar atau petani adalah lemah. Persatuan atau koperasi pengguna di negara ini tidak aktif, maka peniaga tidak mendapat tentangan ke atas kegiatan kartel mereka.
Perkara sama diperhatikan dengan pengeluar. Tanpa satu bumbung kolektif, petani secara individu lemah untuk bersuara apatah lagi berunding dengan tauke atau orang tengah yang membeli hasil keluarannya.
Petani lazimnya adalah pemilik sawah atau kebun kecil dan hasil rendah, lantas pendapatan pun sedikit. Hampir semua petani dalam kategori B40 dan tiga perempat pekebun getah menerima pendapatan RM3,000 sebulan.
Dengan kesempitan ini, petani sering terdesak bagi menerima pulangan hasil untuk membayar hutang. Ketidakimbangan kuasa ini membolehkan orang tengah menetapkan paras harga beli tanpa tentangan besar daripada penjual atau petani.
Dalam kata ringkas, kartel adalah perilaku terhasil daripada struktur pasaran. Kartel memberi kesan negatif kepada industri dan ekonomi seperti harga tinggi kepada pembeli, melembapkan inovasi dan kecekapan kerana mereka tidak memerlukan saingan, kualiti perkhidmatan disediakan menurun kerana tiada persaingan serta mematikan peniaga lain jujur dalam perniagaan.
Bagaimanakah kartel boleh dikurangkan?
Pertama, kerajaan perlu memiliki data dan maklumat industri untuk memahami pemain utama, dinamik pasaran termasuk kos serta margin supaya pembuktian dan penguatkuasaan berlandaskan bukti kukuh.
Ini tugas berat, iaitu menyediakan pangkalan data terperinci mengenai industri. Namun setelah pangkalan data terbina, ia memudahkan penelitian. Yang diperlukan hanya pengemaskinian.
Analitik perlu dirumuskan seperti CR4, CR8 dan penggunaan indeks berkaitan. Indikator ini mengukur agihan kuasa pasaran antara peserta. Maklumat pasaran seperti harga, gred, mengikut lokasi atau rantaian bekalan dan penggabungan serta pemerolehan perlu disediakan secara masa sebenar untuk semua peserta industri.
Dengan kepintaran buatan (AI) tugas ini boleh dilaksanakan dengan mudah dan pantas.
Ketelusan data memberikan banyak faedah seperti membantu kerjasama antara agensi dengan pelbagai pihak untuk memantau kegiatan kartel, mewujudkan polisi penguatkuasaan telus kepada masyarakat serta memudahkan kerajaan mengesan kes kartel dengan lebih banyak.
Kedua, penguatkuasaan ketat dan tindakan undang-undang serta hukuman berat. Menggunakan pangkalan data, Malaysia perlu mencontohi negara maju dalam menangani masalah ini.
Ketiga, menggalakkan persatuan atau koperasi petani dan pengguna supaya menjadi kumpulan kolektif berpengaruh untuk menentang kartel demi kepentingan anggotanya.
Keempat, melaksanakan polisi mesra perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bukan sahaja membina persaingan, tetapi pasaran dinamik dan setara. Ada beberapa industri memerlukan skala perniagaan besar seperti telekomunikasi dan perlombongan.
Namun, perniagaan komoditi pertanian tidak semuanya perlu dilaksanakan dengan besar terutama pada tahap primer dan di sepanjang rantaian bekalan.
Kegiatan kartel memang tidak adil kepada semua kecuali peniaga melaksanakannya. Selain pengeluar dan pengguna, ia memangsakan pengusaha kecil dan jujur, lantas mewujudkan ketidaksetaraan dalam ekonomi. Kesan kepada pertumbuhan industri juga serius. Maka, kartel memerlukan penguatkuasaan ketat dan hukuman setimpal demi pertumbuhan serta kesetaraan.
Dalam kata lain, dasar dan strategi kerajaan adalah paksi utama untuk menjamin pasaran tidak terdedah kepada kegiatan kartel.
Penulis adalah Felo Perunding dan Pemegang Kursi Keterjaminan Makanan, Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Ulasan
Catat Ulasan