Ringgit merudum angkara peningkatan hutang


Ringgit merudum angkara peningkatan hutang
February 26, 2024


KUALA LUMPUR: Peningkatan hutang isi rumah berbentuk pinjaman perumahan dan kenderaan telah menyebabkan penurunan nilai mata wang Ringgit untuk berterusan berlaku di negara ini.


Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, faktor tersebut akan menyumbang kepada peningkatan peredaran wang dalam negara kerana setiap kali pinjaman dilakukan di mana-mana bank, maka akan wujudnya wang baharu.


“Ia akan menyebabkan berlakunya penurunan nilai mata wang (devaluation of currency) yang turut dikenali sebagai inflasi yang menyebabkan harga barang semakin meningkat dari semasa ke semasa.


“Cuma ramai orang awam tidak nampak proses tersebut kerana kadar inflasi pada masa kini lebih dipengaruhi oleh kawalan harga dan subsidi barangan oleh kerajaan yang menyebabkan kadar inflasi nampak rendah,” katanya yang turut tidak menafikan kejatuhan nilai Ringgi banyak dipengaruhi oleh faktor-faktor luar seperti polisi kenaikan kadar faedah yang tinggi oleh kerajaan Amerika Syarikat dan penurunan permintaan barangan eksport tempatan oleh negara China.



Ahmed Razman Abdul Latiff


Namun begitu katanya, pertambahan pinjaman perumahan dan kenderaan dalam kalangan rakyat menjadikan hutang isi rumah meningkat menyebabkan penurunan nilai Ringgit secara berterusan tidak dapat dielakkan berlaku di Malaysia.


Tambah beliau, pada hakikatnya barang akan terus naik dari semasa ke semasa sehingga menyebabkan rakyat hanya bergantung dengan pelbagai hutang semata-mata hanya untuk memenuhi barangan keperluan asas mereka.


Sehubungan itu, beliau melahirkan kebimbangan terhadap senario tersebut kerana ia boleh menyebabkan berlakunya krisis kewangan seperti Krisis Subprima 2008 di Amerika Syarikat yang berpunca daripada terlalu banyak hutang perumahan dalam pasaran pada ketika itu.


Menurut beliau, walaupun perkara tersebut mungkin tidak akan berlaku dalam masa yang terdekat ini di Malaysia, tetapi ia akan memberi kesan yang mendalam sepertimana Krisis Suprima 2008 dari potensi menyebabkan rakyat biasa dan perniagaan bankrap.


“Jadi, perkara sebegini sebenarnya tidak boleh dipandang enteng semata-mata kerana Krisis Subprima 2008 pada masa itu hampir memusnahkan sistem kewangan di AS secara keseluruhan dan perkara tersebut boleh terjadi lagi apabila hutang isi rumah semakin tidak terkawal,” jelasnya kepada HarakahDaily.


Justeru dalam menghadapi situasi berkenaan, beliau menasihatkan agar orang ramai sentiasa mengamalkan disiplin kewangan yang sewajarnya.


Isi hutang dalam kalangan rakyat yang meningkat dikhuatiri antara punca nilai ringgit jatuh merudum secara berterusan di Malaysia. (FOTO HIASAN)

Beliau menyatakan, rakyat juga memainkan peranan penting dalam menggesa kerajaan untuk menguruskan kewangan negara dengan lebih teliti supaya negara ini dapat menghadapi pelbagai risiko ekonomi dengan bijaksana.

“Apa pun saya ingin menegaskan kepada rakyat untuk mengurangkan atau tidak lagi berhutang dengan mana-mana pihak yang mana perkara sebegini telah dilakukan oleh sesetengah masyarakat kerana hutang yang tinggi akan menyebabkan kesukaran untuk membayarnya semula terutama apabila kos sara hidup meningkat.

“Di pihak kerajaan juga perlu berjaga-jaga apabila berlakunya kenaikan hutang isi rumah yang berlaku ini, kerana masalah sebegini juga boleh meningkatkan lagi penurunan nilai mata wang secara senyap selain daripada faktor luar semata-mata.

“Reformasi sistem monetari perlu dilakukan demi menangani status matawang yang masih bersifat matawang fiat yang mudah terkesan oleh sentimen dan spekulasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2024

Ulasan