Ada cubaan gagalkan Beras Kedah
MUHAMAD Sanusi Md. Nor mendakwa ada pihak cuba tidak menjual beras kepada Kedah sebagai antara usaha menghalang usaha pengenalan Beras Kedah. - GAMBAR HIASAN
Oleh JAMLIAH ABDULLAH
6 Mac 2024, 8:13 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memaklumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah semalam mengenai terdapat plot untuk menggagalkan usaha kerajaan negeri mengeluarkan Beras Kedah.
Muhammad Sanusi (PN-Jeneri) mendakwa, selepas beliau mengumum hasrat untuk mengeluarkan beras yang lebih murah daripada harga pasaran, terdapat usaha tertentu dilakukan agar tiada pihak yang menjual beras kepada Kedah.
“Sebelum ini negara mengalami kecelaruan dalam industri beras tempatan disebabkan itu, Kedah selaku negeri pengeluar beras tetapi tak dibenarkan kawal pengeluaran dan pemasaran hasil padi.
JUAL
“Apabila kita uar-uarkan mahu keluarkan Beras Kedah, ada respons (diterima) supaya tidak ada pihak jual beras kepada Kedah,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Najmi Ahmad (PN-Kupang) pada Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman di sini, semalam.
Najmi bertanyakan mengenai perancangan negeri dalam menjamin bekalan makanan bagi menghadapi tempoh krisis makanan global akan datang.
Pada Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang DUN Kedah semalam, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah agar kerajaan negeri memikirkan langkah wajar untuk meningkatkan produktiviti padi di Kedah memandangkan pengeluaran beras adalah sektor tunjang dalam pertanian yang menjadi asas keselamatan makanan negeri dan negara.
Pada 18 Februari lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan kerajaan negeri merancang mengeluarkan produk Beras Kedah pada harga lebih murah berbanding harga pasaran bagi membolehkan rakyat negeri ini dapat membelinya.
Muhammad Sanusi menambah, sekatan seperti ini tidak wajar berlaku apatah lagi ia menggambarkan politik kuno diamalkan di negara ini.
DIKAWAL
“Walaupun industri beras dikawal sepenuhnya oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan namun Kedah bersedia memberikan kerjasama sewajarnya dalam merealisasikan Beras Kedah.
“Saya yakin Jabatan Pertanian dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dapat berurusan, biarpun dari segi politik tidak seperti diharapkan. Masih ada politik kuno diamalkan untuk mengasingkan kerajaan negeri dengan agensi Persekutuan. Saya perlu buat teguran terbuka di dewan yang mulia ini,” katanya.
Beliau juga berharap semua jabatan dan agensi di Kedah dapat menjalin kerjasama erat untuk berhadapan cabaran krisis makanan pada masa akan datang.
“Jangan ada agensi cuba asingkan Kedah daripada aktiviti atau perancangan kementerian. Saya difahamkan, ada arahan lisan dari pihak agensi Persekutuan untuk kurangkan kerjasama dengan negeri. Saya jamin Kedah bersikap terbuka dan mengalu-alukan kerjasama agensi pusat untuk pastikan kebimbangan makanan yang meruncing dapat diatasi,” katanya.
Muhammad Sanusi juga mendakwa, faktor krisis beras antaranya berpunca daripada ketamakan pengusaha sektor makanan dan pertanian yang harus ditamatkan menerusi penguatkuasaan undang-undang Kerajaan Persekutuan.
“Antaranya isu kartel padi terbongkar apabila ada serbuan terhadap pihak yang simpan padi di Kedah, harap isu kartel dapat diselesaikan untuk pastikan tiada lagi kebimbangan bekalan beras akan datang. Saya juga harap tiada sekatan (kepada Kedah) dalam agihan varieti padi berkualiti. Kita juga tak mahu menjadi pusat lambakan baja tidak berkualiti,” katanya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan