Anggota polis ziarah keluarga sebelum maut dipukul
HUSSEIN OMAR KHAN
Oleh MASZUREEN HADZMAN
25 Mac 2024, 12:26 pm
SHAH ALAM: Siasatan awal polis mendapati anggota polis yang ditemukan mati di sebuah pangsapuri di Taman Impian Indah, Kajang pada Sabtu lalu berada di situ untuk menziarahi ahli keluarganya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, anggota polis dan isterinya tinggal di kuarters polis Sungai Besi, Cheras telah ke pangsapuri berkenaan sebelum ditemukan tidak sedarkan diri.
Kata beliau, ketika selesai menziarahi, dipercayai berlaku pertengkaran di antara dia dengan isterinya.
“Jadi, mungkin berlaku pertengkaran sehingga tercetus pergaduhan dan kita masih siasat bagaimana ia bermula,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Polis ke-217 Peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, laporan bedah siasat mendapati anggota berkenaan maut selepas mengalami kecederaan di atas kepala akibat hentakan benda tumpul.
“Kita tidak pasti sama ada dipukul atau jatuh kerana tiada sebaran senjata dijumpai di lokasi kejadian.
“Kita tunggu siasatan lanjut daripada tangkapan beberapa suspek berhubung kes ini,” jelasnya.
Kata beliau, lima individu yang ditahan dipercayai berada di tempat kejadian dan terlibat sama dalam pergaduhan atau memukul mangsa.
“Kita harapkan orang awam yang lihat kejadian untuk tampil bantu siasatan,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, lima lelaki ditahan selepas terbabit memukul anggota polis itu sehingga maut.
Penahanan suspek berusia 20 hingga 30 tahun itu dilakukan di sekitar daerah ini dan usaha mengesan beberapa individu lagi sedang dijalankan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Mangsa yang maut adalah anggota polis yang masih berkhidmat di Kontinjen Kuala Lumpur.
Terdahulu, anggota berpangkat Koperal yang masih berkhidmat di Kontinjen Kuala Lumpur ditemukan tidak sedarkan diri di lokasi kira-kira pukul 3 pagi.- UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan