Kanak-kanak Gaza paling ramai maut berbanding seluruh dunia


Kanak-kanak Gaza paling ramai maut berbanding seluruh dunia

KANAK-kanak berdiri di tengah-tengah runtuhan masjid dan tempat perlindungan sementara yang musnah dalam serangan Israel di Deir al-Balah di tengah Gaza pada 2 Mac lalu. -AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
14 Mac 2024, 8:00 am


GENEVA: Lebih ramai kanak-kanak dilaporkan terkorban dalam perang yang melanda Gaza berbanding konflik selama empat tahun membabitkan golongan itu di seluruh dunia.

Ketua Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini berkata, pendedahan itu amat mengejutkan dan mengecewakan.

Menurutnya, catatan pihak­nya menunjukkan bahawa 12,193 kanak-kanak terbunuh dalam konflik di seluruh dunia antara 2019 sehingga 2022.

Jika dibandingkan, laporan daripada Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas pula menunjukkan lebih 12,300 kanak-kanak maut di wilayah Palestin antara Oktober sehingga akhir Februari lalu.

PEPERANGAN TERHADAP KANAK-KANAK

“Mengejutkan. Jumlah kanak-kanak yang dilaporkan terbunuh dalam masa lebih empat bulan di Gaza adalah lebih tinggi daripada jumlah kanak-kanak yang terbunuh dalam empat tahun peperangan di seluruh dunia yang digabungkan.


“Peperangan ini adalah perang terhadap kanak-kanak. Ia adalah perang terhadap zaman kanak-kanak dan masa depan mereka,” kata Lazzarini dalam aplikasi X.

Perang di Gaza bermula de­ngan serangan Hamas pada 7 Oktober lalu yang mengakibatkan kira-kira 1,160 kematian di Israel, kebanyakannya orang awam, menurut kiraan AFP berdasarkan angka rasmi Israel.

Pejuang Hamas turut didakwa mengambil kira-kira 250 tebusan, berpuluh-puluh daripadanya dibebaskan semasa gencatan senjata selama seminggu pada November lalu.

Israel percaya kira-kira 130 tawanan kekal di Gaza, terma­suk 32 yang dianggap mati.

Pengeboman balas Israel dan serangan darat membunuh 31,184 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, menurut kementerian kesihatan wilayah itu.

AS MINTA BEBASKAN WANITA, WARGA EMAS

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) meminta Hamas membebaskan wanita, tebusan warga emas bagi membolehkan gencatan senjata lebih lama.

Kelmarin, di Washington, White House menggesa pejuang Hamas di Gaza membebaskan wanita, warga emas dan tebusan yang cedera bagi membolehkan gencatan senjata sementara dimeterai dan berlangsung lebih lama serta berkekalan.

GENCATAN SENJATA SEDANG DIBINCANG

“Satu gencatan senjata sedang dibincangkan semalam, usaha selama enam minggu yang diharapkan dapat menjadi sesuatu yang lebih berkekalan jika Hamas membebaskan wanita, mereka yang cedera dan warga tua,” kata Penasihat Keselamatan White House, Jake Sullivan dalam satu sidang media.

Israel menerima syarat gencatan senjata selama enam minggu sebagai pertukaran untuk pembebasan beberapa tebusan yang ditahan oleh Hamas sejak serangan 7 Oktober lalu ke atas selatan Israel yang mengakibatkan 1,200 orang terbunuh.

Bagaimanapun, Hamas berkata, pihaknya hanya akan menerima perjanjian berdasarkan gencatan senjata kekal yang menamatkan perang dan termasuk pengunduran tentera Israel dari Gaza, bukannya gencatan senjata sementara. – AGENSI

Ulasan