Memperingati Seabad Kejatuhan Khilafah Uthmaniah 3 Mac 1924
March 3, 2024
KERINDUAN kepada khilafah yang memayungi ummah tak tertahan dilubuk hati Islamis, selama satu abad kita kehilangan penjaga dunia Islam sehingga dibidak catur oleh kuasa imperialis Barat, menjadi terpencar dan hilang kekuatan tanpa ruh Islam. Secara rasminya, 100 tahun lalu saat kuasa besar dunia, empayar Pax Britanica mengakar dan menjulang kesombongan dengan menjarah sebahagian besar dunia, kerajaan Islam yang berjasa besar ini ,lebih 600 tahun memayungi bumi umat Islam akhirnya tumbang. Lihat sahaja kubangan darah di Gaza, lebih lima bulan pembantaian tanpa ada kuasa Islam yang menyekat darah yang tumpah, seperti mana dasyatnya kerancuan berfikir ummah pasca kejatuhan Khilafah Uthmaniah.
Ramai yang tidak menyedari tarikh 3 Mac ialah sejarah pilu ummah, akibat runtuhnya sebuah kerajaan Islam yang telah memayungi sarwajagat dunia Islam termasuk alam Melayu. Kerajaan Islam yang berpusat di Turki itu melingkar jauh kekuasaannya sehinggalah ke Balkan di Eropah. Slogan ” dimana adanya laungan azan,maka disitulah tanahair kami” akhirnya menjadi sejarah pilu ummah. Dua minggu lepas penulis berada di Bam Pram, songkla dimana ditunjukkan kuburan syuhada dari bumi Turki yang turut berjuang bersama ulama besar, Sheikh Abdul Samad Palimbani menentang penjarahan tentera Siam keatas Pattani darus salam.
Negara Turki terletak di Asia kecil dan di sebelah Tenggara Benua Eropah. Kedudukan Turki memang unik, kerana sebahagian besar wilayahnya terletak di Asia, dan sebahagian kecilnya terletak di Eropah. Kedua-dua wilayah yang terpisah ini dihubungkan dengan jambatan yang merentasi Selat Bosporus.
Turki mempunyai sejarah panjang sebagai pusat pemerintahan Islam yang menaungi sebahagian besar ummat Islam. Khilafah Uthmaniah Turki diasaskan oleh Uthman Orthogol, berada di zaman kemuncak semasa pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fatih , khalifah ketujuh yang telah berjaya menawan Kota Konstantinople daripada Byzantin. Khilafah Uthmaniah menjaga dunia Islam, menebarkan dakwah dan jihad ta’lim, bahkan mencetak kitab-kitab thurath untuk alam Nusantara ini.
Kehebatan kerajaan Uthmaniah mula semakin lemah diakibatkan oleh perancangan jahat orang-orang Yahudi Dunnama, di mana mereka ini telah memeluk Islam dengan niat untuk menghancurkan Islam daripada dalam (gunting dalam lipatan). Golongan Yahudi juga telah menduduki jawatan-jawatan penting dalam kerajaan Turki. Kemuncak perancangan mereka golongan Yahudi merancang untuk menghancurkan Khilafah Islam. Golongan Yahudi antarabangsa melalui gerakan Freemason yang menguasai media massa telah menonjolkan Mustafa Kamal yang berdarah Yahudi sebagai sosok pahlawan yang akan membangunkan Turki baru yang bebas daripada dogma agama.
Media massa juga telah memainkan peranan penting memburukkan kerajaan Uthmaniah Turki terutama kecacatan peribadi Khilafah yang bergelumang dengan keseronokan. Di Turki, telah ditubuhkan “The Young Turks” pada tahun 1908 gerakan Yahudi ini digerakkan dengan bantuan Freemason. Kucuran dana daripada Yahudi dan kuasa Barat memotori pergerakan Young Turks ini, golongan ini sangat agresif untuk menggulingkan Sultan Abdul Hamid II. Sosok khalifah ini digambarkan lemah, tak kompeten serta menumpokkan hutang negara , walhal Abdul Hamid berjaya menjaga tanah Palestine, bahkan berjaya menyekat satu teater menghina Rasulullah SAW di Paris!.
Di negara-negara Arab lain pula semangat Nasionalisme Arab telah ditiupkan dengan menganggap kerajaan Turki sebagai penjajah. Negara Barat berusaha meniupkan semangat negara bangsa kepada negara-negara Arab, melalui semangat Nasionalisme Arab inilah Turki mahu dipisahkan daripada saudara-saudara Islam lainnya di seluruh dunia. Watak oportunis ini dilakonkan dengan jayanya oleh Lawrence Arabia, menghasut penguasa -penguasa Arab agar membebaskan diri daripada Uthmaniah. Perancangan keji Yahudi ini akhirnya berjaya meruntuhkan khilafah secara rasmi pada 3 Mac 1924. Mustafa Kamal telah naik ke takhta kuasa dan mula menunjukkan kebenciannya kepada Islam dan orang-orang beriman.
Seluruh dasar kerajaan telah dipisahkan daripada Syariat Islam di antaranya menurut Ahmadi Al-Aziz (1998) :Tidak mengambil Al-Quran dan Hadis sebagai dasar perlembagaan dan pemerintahan negara.
Golongan pemerintah (atasan) dan konco-konconya hinggalah ke menteri-menteri dan wakil-wakil rakyatnya, adalah perompak-perompak terhormat yang mengaut kekayaan rakyat untuk menjadikan mereka kaya-raya hasil menyertai politik.
Kebanyakan siaran-siaran radio dan televisyen serta isi kandung majalah, 95% adalah maksiat. Memang ada yang baiknya tetapi cuma sekadar 5% sahaja.
Terdapat binaan tugu-tugu dan patung-patung dalam negara, yang mana tugu-tugu dan patung-patung tersebut dibesar-besarkan.
Muzik-muzik haram, tari-menari, bergaul bebas, panggung-panggung wayang lucah, mengangkat sembah, pendedahan aurat, arak, judi, zina dan lain-lain lagi dibenarkan berleluasa.
Waktu-waktu sembahyang, masjid kosong. Majoriti manusia berkeliaran di luar masjid dengan segala bentuk urusan duniawi.
Peminta sedekah, fakir miskin, anak yatim, orang-orang tua dan janda-janda disisihkan.
Banyak projek yang sia-sia atau membazir, dengan menggunakan wang berjuta-juta seperti membesarkan tempat-tempat peleseran yang digunakan untuk orang-orang besar sahaja.
Polis dan tentera yang sepatutnya bertugas menjaga keamanan tetapi merekalah yang banyak membuat rakyat berasa tidak aman.
Para pemimpin apabila ditegur, mereka melenting dan marah-marah. Maka mereka pun berdendam dan mencari peluang mendedahkan pihak yang menegur untuk diambil tindakan.
Di satu Bandar bernama Balikesir, Mustafa Kamal berucap bahawa agama terpisah dengan urusan harian dan mendakwa Nabi Muhammad s.a.w. juga telah berbuat demikian. Ini jelas menentang Al-Quran dan Sunnah.
Dalam satu ceramahnya Mustafa Kamal pernah menegaskan bahawa mana mungkin sebuah Negara maju jika orangnya tidak berpakaian secara moden (mendedahkan aurat). Akibatnya ramai yang telah dibunuh hanya kerana enggan berpakaian secara barat dan mematuhi arahan negara Turki moden.
Mustafa Kamal tidak membenarkan kuasa talak pada suami (seperti yang ada dalam ajaran Islam) kerana mengikut undang-undang sivil dari Sweeden. Ironisnya, undang-undang ini diperkenalkan beberapa bulan selepas dia menceraikan isterinya.
Kejatuhan Islam yang telah memayungi umat selama 600 tahun lebih ini akhirnya telah mewajahkan dunia Islam yang baru, kemunculan negara bangsa akibat pemetaan baru dunia Islam dengan arkitek utamanya ialah empayar Pax Britanica dan Peranchis. Negara umat Islam juga telah difaraidkan dan menuju titik kelemahan paling parah dengan pelebaran faham ilmaniah atau sekularisme. Umat Islam dijajah dan mengalami keterpurukan nilai serta tersudut dalam semua sektorsehingga memunculkan faham pan islamisme untuk mendobrak hegemoni Barat.
Empat tahun selepas kejatuhan khilafah Uthmaniah juga menyaksikan Imam Hasan Al Banna menubuhkan Ikhwanul Muslimin untuk mengembalikan semula pemerintahan Islam, seterusnya gerakan Islam ditubuhkan di bumi umat Islam yang lain. Jamiat Islami ditubuhkan di Sub Continent, MASYUMI di Indonesia, Hizbul Muslimin di Malaya, an Nur di Turki dan pelbagai gerakan Islam kontemporari yang lain.
3 Mac 1924 adalah monumen pilu dan sejarah luka umat Islam dan ianya akan kembali sembuh dengan ummah kembali berjuang untuk mengembalikan ketuanan Islam. Islam yang berdaulat, negara yang mendokong Syariat serta menjadi pembenteng kepada agama Allah sebagaimana yang telah dilakarkan dalam sejarah Khilafah Uthmaniah. Umat Islam wajib menggabungkan diri mereka bersama gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan kembali pemerintahan Islam, mendobrak ideologi kufur yang menjadi jalan pintas menuju kearah murtad seperti ungkapan Sheikh mustapha Sabri, Mufti terakhir Khilafah Uthmaniah. Dirgahayu Khilafah Islam, kami merindui payungan Islam dan kerajaan Islam yang berdaulat! -HARAKAHDAILY 3/3/2024
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)
Ulasan
Catat Ulasan