Israel sekat siaran berita Al Jazeera



Israel sekat siaran berita Al Jazeera
Oleh WARTAWAN LUAR NEGARA
3 April 2024, 7:15 am

TEL AVIV: Parlimen Israel meluluskan undang-undang yang membenarkan pihak kerajaan menyekat siaran televisyen termasuk saluran berita Al Jazeera.

Lapor BBC, Parlimen Israel yang dikenali sebagai Knesset meluluskan undang-undang yang akan menyekat liputan berita daripada agensi asing buat ‘sementara’ waktu kerana berpotensi mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara.

Sekatan itu akan berkuatkuasa selama 45 hari, yang boleh diperbaharui semula. Undang-undang itu akan berkuatkuasa sehingga Julai depan atau sehingga serangan di Semenanjung Gaza berakhir.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata, beliau akan bertindak segera untuk menutup pejabat rangkaian berita itu yang turut digelarnya sebagai ‘saluran pengganas’.

“Al-Jazeera tidak akan lagi dibenarkan bersiaran di Israel,” tulisnya menerusi ciapan dalam X.

Amerika Syarikat (AS) melahirkan kebimbangan mengenai langkah itu. Kebanyakan wartawan asing tidak dibenarkan memasuki Gaza, dan hanya beberapa wartawan sahaja dibenarkan membuat liputan perang di wilayah konflik.


Sudah bertahun-tahun, pegawai Israel menuduh rangkaian berita itu sebagai berat sebelah dan anti-Israel, malah mendakwa kononnya Al-jazeera mempunyai hubungan dengan pejuang Hamas.

Al-Jazeera turut memberikan maklum balas berhubung sekatan baharu itu dan menyifatkan Netanyahu sebenarnya tidak mampu mencari alasan kukuh terhadap serangan berterusan kepada agensi berita itu.

Bukan sahaja Netanyahu menyekat kebebasan media, beliau juga mencipta penipuan baharu dan fitnah menghasut rangkaian dan hak pekerjanya.

“Netanyahu perlu bertanggungjawab atas keselamatan kakitangan dan premis rangkaian ini di seluruh dunia, berikutan hasutan dan tuduhan palsu dengan cara yang begitu memalukan,” jelasnya.

Saluran itu menuduh Israel sengaja menyasarkan kakitangannya, termasuk wartawan, Hamza Al-Dahdouh, anak kepada Ketua Biro Al Jazeera Gaza, Wael Al-Dahdouh, yang terbunuh akibat serangan Israel.

Qatar yang merupakan ibu pejabat Al Jazeera, sedang menjadi pengantara rundingan antara Israel dan Hamas berhubung konflik selama hampir enam bulan itu. Rundingan sebelumnya yang dimediasi oleh Qatar membawa kepada gencatan senjata sementara dan pembebasan 105 tebusan Israel.

Walau bagaimanapun, tidak jelas jika langkah Israel akan menjejaskan perundingan gencatan senjata.

Sebelum ini, Israel pernah melarang saluran berita Lubnan, Al Mayadeen daripada beroperasi di negara itu.

Ulasan