Tiga pelari Afrika disyaki beri kemenangan kepada China


Tiga pelari Afrika disyaki beri kemenangan kepada China
April 17, 2024


Detik ketika He Jie menang maraton Beijing selepas tiga pelari dari benua Afrika memperlahankan larian mereka ketika menghampiri garisan penamat. (FOTO: WEIBO)

HONG KONG: Pihak penganjur acara maraton Beijing Ahad lalu akan melakukan siasatan terhadap dakwaan tiga pelari dari benua Afrika yang sengaja memberikan kemenangan kepada pelari dari China, He Jie pada acara berkenaan.

Menerusi video yang tular di media sosial menunjukkan bekas pemegang rekod maraton 5 kilometer dari Kenya, Robert Keter dan rakan senegaranya, Willy Mnangat, serta pelari dari Ethiopia, Dejene Hailu menggunakan isyarat tangan untuk mengarahkan He agar memintas mereka, sebelum menunjukkan He ke arah garisan penamat.


He kemudiannya tiba di garisan penamat dengan masa 1:03:44 dan membawa pulang hadiah bernilai AS$5,500 (RM26,364), dengan trio dari Afrika itu berkongsi tempat kedua, hanya satu saat di belakang He.

Trio dari Afrika itu kemudiannya dilihat memberikan tepukan kepada kemenangan He, sebelum menepuk-nepuk bahagian belakangnya, walaupun He dilihat tidak bersemangat dan memberikan sebarang reaksi di sebalik kemenangan pertamanya di peringkat kompetitif.

He yang telah memecahkan rekod maraton China dua kali sejak dua tahun lepas tidak memberikan sebarang komen mengenai penamat lariannya yang kontroversi itu.

“Saya tidak berada di tahap yang baik dan kompetitif,” ujarnya ketika ditemu bual selepas tamat acara maraton berkenaan.

Sementara itu, jurucakap Biro Sukan Beijing memaklumkan mereka akan menyiasat insiden kontroversi berkenaan sambil menambah, “kita akan umumkan keputusannya kepada umum apabila ianya telah disahkan.”

Dalam pada itu, syarikat sukan China, Xtep yang merupakan pihak penaja maraton berkenaan yang turut mengikat kontrak bersama He berkata, situasi tersebut masih dalam pengesahan daripada beberapa pihak, dan maklumat lanjut akan diberikan secepat yang mungkin, lapor The Paper.

Pengguna-pengguna media sosial di China mengecam kemenangan He, dan mendesak siasatan terhadap perlumbaan tersebut diadakan sambil menuntut penerangan daripada pihak penganjur mengenai insiden berkenaan.

“Tidak syak lagi ini adalah kemenangan paling memalukan bagi He Jie,” ujar satu komen di laman Weibo yang menerima sejumlah 1,000 tanda suka.

“Dengan tahap penganjur yang besar dan acara sukan yang dikenali ramai, insiden ini telah mengakibatkan semangat kesukanan jatuh ke tahap yang memalukan,” kata ujar satu lagi komen. – HARAKAHDAILY 17/4/2024

Ulasan