KEADAAN Apot Saat semasa dirawat di Hospital Kampar baru-baru ini. - UTUSAN/SAYED HESHAM IDRIS
Wira negara, Apot kini lesu terlantar akibat strok
Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
18 April 2024, 8:15 am
KAMPAR: Penjejak legenda Senoi Praaq yang juga merupakan bekas anggota VAT 69 Komando, Sarjan Mejar (Bersara) Apot Saat, 74, kini hanya terlantar di atas katil rumah anaknya di Kampung Batu Berangkai di sini sejak diserang strok hujung bulan lalu.
Menurut anaknya, Arie, 44, sejak dimasukkan ke Hospital Kampar pada Ahad, 31 Mac lalu, ayahnya tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara.
“Ayah faham apa yang kami adik beradik katakan apabila berbual dengannya namun keadaannya amat lemah dan tidak berdaya untuk membalasnya kembali atau melakukan sebarang aktiviti fizikal.
“Untuk memudahkan menjaganya dengan baik dan tidak membebankan ibu, kami menjaganya di Kampung Batu Berangkai berbanding di rumahnya sendiri di Mambang Diawan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Katanya, ayahnya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai penoreh getah selain bergantung dengan wang pencen bulanan terpaksa menggunakan saluran tiub untuk makan minum serta membuang air.
“Kami masih belajar dan agak khuatir tidak dapat menjaganya dengan baik dan situasi itu menyebabkan semua tidak membenarkan sesiapa sahaja untuk melawatnya setakat ini.
“Selain itu, kami takut sekiranya emosi ayah tidak stabil apabila kawan-kawan dan kenalan rapatnya ingin menziarahinya.
“Sejak keluar hospital, ramai pihak termasuk orang kenamaan yang ingin melawatnya tetapi setelah berbincang adik beradik biarlah ayah kembali stabil dahulu,” katanya.
Arie memberitahu, tahap kesihatan ayahnya telah merosot sejak beberapa tahun dan bergerak menggunakan kerusi roda.
Apot merupakan penerima Pingat Gagah Berani (PGB) dalam kalangan Orang Asli yang banyak berjasa kepada negara dalam operasi menentang pengganas komunis termasuk menembak mati lima anggota komunis.
Apot yang terkenal sebagai tracker (penjejak) Orang Asli serta digeruni oleh komunis kerana kebolehannya menjejak serta menghidu setiap pergerakan musuh di dalam hutan belantara, menyertai pasukan Senoi Praaq pada 1968 sebelum diserapkan ke dalam 69 Komando (VAT 69).
Ulasan
Catat Ulasan